Pairin Kitingan bersama barisan wakil parti-pari politik menubuhkan Gabungan Bersatu Sabah hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah gabungan parti-parti politik di Sabah ditubuhkan hari ini.

Gabungan parti itu dikenali Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dianggotai oleh empat parti politik iaitu Parti Bersatu Sabah, UMNO Sabah, Parti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Beberapa bekas menteri kabinet dilantik sebagai nadi untuk menggerakkan gabungan berkenaan yang ditubuhkan susulan perkara-perkara tertentu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengerusi Interim GBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, menyedari nadi rakyat yang dahagakan perpaduan dan kekuatan politik dalam kalangan parti-parti politik di Sabah, pihaknya telah berbincang dan bersetuju untuk menubuhkan gabungan itu bagi menggantikan rejim politik lama.

“Daripada segi strukturnya, keempat-empat parti politik dalam GBS telah bersetuju untuk melantik saya sebagai pengerusi interim manakala presiden atau ketua-ketua komponen parti akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bersama iaitu Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden PBS), Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd. Noor (Pengerusi UMNO Sabah), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (Presiden STAR Sabah) dan Tan Sri Joseph Kurup (Presiden PBRS).

“Datuk Seri Panglima Masidi Manjun akan memegang jawatan Setiausaha Agung manakala Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak sebagai Bendahari dan Datuk Joniston Bangkuai sebagai Ketua Penerangan.

“Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) adalah secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa GBS,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pairin Kitingan berkata, GBS bersedia untuk mengambil alih tampuk kerajaan sedia ada yang sehingga ke hari ini belum disahkan statusnya.

Katanya, gabungan itu juga akan memastikan Malaysia dan Sabah kekal harmoni dan bersatu disamping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri serta mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

“Selepas lima bulan ‘berkuasa’, kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan bukan sahaja gagal menjalankan kerja seperti yang diamanahkan oleh rakyat tetapi juga memperlihatkan kelemahan mereka.

“Antaranya ialah memperjuangkan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963; membantu pemohon yang tidak layak mendapatkan dokumen pengenalan diri; Empangan Kaiduan; Projek Tanjung Aru Eco-Development (TAED); dan lain-lain, seperti yang disenaraikan di dalam siaran akhbar,” ujarnya.

Tambah beliau, GBS akan berkerja keras untuk memperbaiki keadaan kucar-kacir ini apabila berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kelak.

Tegasnya, gabungan berkenaan juga bersedia untuk berdepan dengan Parti Warisan dan akan berusaha memenangi pilihan raya umum pada bila-bila masa.

Beliau berkata, GBS juga akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan demi kesejahteraan Malaysia baharu dan Sabah. – MalaysiaGazette