Muhamad Nazrul Abd Rahim
Pemandu Kereta Sewa Langkawi, Muhamad Nazrul Abd Rahim bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pejabat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) berhubung isu persaingan perkhidmatan antara teksi dan grab di Menara SSM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Persatuan Tuan Empunya dan Pemandu Kereta Sewa Langkawi mendakwa  kira-kira 10 pemandu teksi berkelakuan biadab dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa jasa mereka tidak dikenang.

Setiausahanya, Muhamad Nazrul Abd Rahim berkata, mereka kesal setelah usaha memenangkan Mahathir pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak mengubah nasib pemandu teksi di pulau bebas cukai itu.

“Salah seorang daripada mereka betul-betul berkempen semasa pilihan raya lalu supaya pemandu-pemandu teksi menyokong Pakatan Harapan (PH) terutamanya Mahathir.

“Setelah PH menang dan memerintah negara, mereka telah memberikan perkhidmatan percuma kepada semua pengguna di Langkawi selama sehari.

“Itulah komitmen dia kepada PH dengan harapan untuk menaikkan semula imej kami dan memberi kami pendapatan lebih baik setelah dimonopoli oleh Uber dan Grab,” katanya ketika ditemui hari ini.

MGF24102018_PERTEMUAN ANTARA TEKSI DAN MYCC04
Pemandu Kereta Sewa Langkawi, Muhamad Nazrul Abd Rahim bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pejabat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) berhubung isu persaingan perkhidmatan antara teksi dan grab di Menara SSM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

Pada Ahad lalu, majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi bertukar kecoh apabila sekumpulan ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis sambil berteriak.

Tindakan mereka didakwa kerana tidak setuju dengan pandangan Perdana Menteri berhubung perkhidmatan e-hailing, Grab.

Insiden itu telah menyebabkan Mahathir berkecil hati menyebabkan Ahli Parlimen Langkawi itu berhasrat meletakkan jawatannya dalam kabinet.

Justeru, Muhamad Nazrul memohon maaf kepada Perdana Menteri terhadap sikap beremosi sekumpulan pemandu teksi terbabit sambil menyifatkan mereka hanya meluahkan rasa tidak puas hati.

“Kami benar-benar kesal dengan kejadian tersebut jadi kami dengan sepenuh hati memohon maaf kepada Mahathir.

“Sebenarnya tidak begitu (biadab), mereka cuma meluahkan perasaan terlalu kecewa dengan jawapan Perdana Menteri, sebenarnya mereka mengharap lebih daripada itu.

“Dalam keadaan marah lebih baik mereka keluar dari dewan,” katanya.

Katanya lagi, komuniti teksi juga sedia memberi perkhidmatan terbaik dan menyangkal dakwaan kadar tambang yang dikenakan terlalu mahal berbanding perkhidmatan e-hailing.

“Kami bukannya terlalu mahal sedangkan Grab kadang-kala terlalu tinggi tapi boleh juga digunakan (oleh pengguna).

“Nak kata kereta kami buruk, boleh tengok kereta kami hantar servis setiap bulan dan setiap enam bulan kena hantar ke Puspakom.

“Tak adil kami pemandu teksi seluruh Malaysia dihina macam itu. Harapan kami kepada PH terutamanya Mahathir supaya dapat membantu dan membela nasib kami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette