Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menempelak berkali-kali kerajaan negeri Kelantan yang didakwa tidak mampu membayar gaji kakitangan awamnya sehingga terpaksa meminta bantuan kerajaan pusat menimbulkan rasa tidak senang pimpinan Pas.

Presiden Pas,  Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, pihaknya bukan ‘peminta sedekah’ sebaliknya kerajaan pusat mempunyai tanggungjawab dan wajib menyediakan bantuan kewangan untuk negeri-negeri.

Jelasnya, Kelantan merupakan antara sebahagian sistem kerajaan persekutuan dan sudah menjadi kewajipan pusat untuk menjalankan tanggungjawab mereka serta bukan mengeluarkan kenyataan bercanggah.

“Memberi bantuan adalah kewajipan kerajaan pusat. Dalam konsep federalisme, kita harus sedar kita adalah sebahagian daripada sistem persekutuan yang diamalkan.

“Kelantan juga membayar cukai seperti cukai kenderaan, pakaian dan makanan. Semua cukai ini diambil Jabatan Kastam yakni bawah pentadbiran kerajaan pusat.

“Kelantan ada hasil bumi yang kerajaan pusat ambil dan itulah kewajipan yang kerajaan pusat kena bayar balik kepada negeri. Itu adalah tanggungjawab, bukan kita minta sedekah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan pemberita berhubung tindakan Guan Eng mendedahkan surat permohonan dana pendahuluan sebanyak RM97.0 juta bagi menampung aliran tunai kerajaan negeri untuk tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM24.5 juta telah diminta untuk membayar gaji kakitangan awam bagi mengelakan sebarang kelewatan.

Kerajaan pusat pada Jun lepas telah meluluskan pendahuluan sebanyak RM22.5 juta bagi membantu kerajaan negeri Kelantan menyelesaikan kemelut tersebut.

Namun demikian, apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyoal di Parlimen sama ada kerajaan Kelantan dan Terengganu boleh mengambil alih projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika ia dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan.

Guan Eng berkata, beliau perlu menunggu surat rasmi jika kerajaan negeri berminat untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kemampuan Kelantan untuk mengambil alih projek berkenaan sedangkan kerajaan negeri sendiri tidak mempunyai dana yang cukup untuk membayar gaji kakitangannya.

Ini telah menyebabkan rata-rata wakil Pas dan pembangkang yang merasakan kenyataan itu melampau dan perlu ditarik balik.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang (Pas) menambah, dana pendahuluan sedemikian juga telah diberikan semasa era Barisan Nasional (BN) meskipun terdapat beberapa penangguhan.

“Ini bukan sesuatu yang baru, kerajaan terdahulu juga pernah memberikan dana pendahuluan seperti ini.

“Menuduh Kelantan penghutang tertinggi, semua negeri ada hutang, bukan kita saja. Tapi kerajaan negeri mampu bayar hutang dia secara berperingkat dalam tadbir urus dah masuk 28 tahun kita boleh bertahan dalam ‘kepungan’.

“Saya percaya Pulau Pinang tidak boleh berbuat seperti itu, tidak mampu laksana seperti Kelantan jika tiada hasil,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan