Datuk Seri Ronald Kiandee. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yakin siasatan berkenaan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaporkan hilang dapat diselesaikan dalam sesi Parlimen kali ini.

Menurut Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, prosiding hari ini yang membabitkan sesi menyoal bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjalan dengan lancar.

“Beliau telah memberikan kerjasama dan keterangan dengan baik sekali. Saya tidak dapat mendedahkan semua maklumat berkaitan itu ketika ini.

“Apa yang saya boleh beritahu, Najib telah memberikan aliran perjalanan kewangan terutamanya bayaran balik GST. Semua soalan yang diajukan telah dijawab oleh beliau.

“Selepas menyoal saksi terakhir iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kita berharap dapat menutup kes ini dan mengemukakan hasilnya kepada Parlimen. Bagaimanapun kita belum dapat tarikh daripada beliau lagi ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selesai prosiding itu bersama Najib yang berlangsung kira-kira satu jam.

Tambah Ronald, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan Najib akan dipanggil jika ada keperluan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Najib yang sempat melemparkan senyuman kepada media enggan menjawab apa-apa pertanyaan daripada pemberita ketika disoal berhubung prosiding PAC itu.

Siasatan PAC sebelum ini juga membabitkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. –MalaysiaGazette