Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi membantu siasatan berhubung urusan 1MDB dan Firma Pelaburan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi membantu siasatan berhubung urusan 1MDB dan Firma Pelaburan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir lagi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini hari ini.

Menurut sumber, Ahli Parlimen Pekan itu hadir untuk memberi keterangan dan bukannya kerana menerima notis serah diri daripada agensi itu.

Bekas Presiden UMNO itu sebelum ini beberapa kali dipanggil memberi keterangan berkaitan pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Najib muncul pukul 1.55 petang menaiki kenderaan SUV dengan berpakaian kot biru gelap.

Seperti kebiasaan, beliau kelihatan tenang dan tersenyum sebaik sahaja keluar dari kenderaan.

Najib sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM. – MalaysiaGazette