KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mahu mendengar alasan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung tindakan ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak hadir mesyuarat di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menerusi Facebook, bekas perdana menteri membuat sindiran kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiada menteri atau timbalan menteri mahu mendengar perbahasannya di Parlimen.

Dengan memuat naik sekeping gambar pada posting terbaru di laman sosial berkenaan, menunjukkan tempat duduk anggota Parlimen kerajaan yang kosong, Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan mahu mendengar alasan daripada Kit Siang berhubung perkara itu esok.

“Pagi tadi, Kit Siang guna alasan bahawa tiada menteri atau timbalan menteri di Dewan Rakyat semasa saya membahas ialah kerana saya tidak relevan lagi.

“Gambar ini diambil oleh sahabat UMNO saya pada petang tadi. Tanpa saya di dewan pun, menteri dan timbalan menteri PH tetap hilang.

“Kita tunggu alasan terbaru Kit Siang esok,” tulisnya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sinis turut memberi pandangan sama seperti Kit Siang apabila memberitahu menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen sudah jemu mendengar ucapan Najib.

Perkara itu telah menyebabkan mereka tidak hadir ketika Najib berbahas.

Muhyiddin juga berkata, ketidakhadiran menteri, timbalan menteri atau Ahli Parlimen PH ketika Najib berbahas di Dewan Rakyat bukanlah isu besar. – MalaysiaGazette