Pandelela (dua dari kanan) dan Mohammad Fitri (tengah) merima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan.

KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara Pandelela Rinong dan pemain hoki kebangsaan Mohammad Fitri Saari menerima ijazah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2018, semalam.

Pandelela, 25, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, dan Mohammad Fitri, 25, menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan.

Mereka antara 5,279 graduan yang berjaya menamat pengajian di universiti tersohor negara itu.

Pandela dalam kenyataan dikeluarkan UM berkata, tenaga pengajar dan rakan-rakan sekuliah banyak membantunya dalam subjek yang dipelajari.

“Selain bergelut dengan tugasan serta kelas dan pada masa sama membuat persiapan menyertai pertandingan terjun di pelbagai peringkat menyebabkan saya perlu bijak membahagikan masa,” katanya.

Mohammad Fitri pula melahirkan perasaan sedikit terkilan kerana tidak dapat beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) yang sedang berlangsung di Oman kerana memilih menghadiri majlis konvokesyen itu.

“Bukan mudah membuat pilihan, namun saya memilih menjayakan majlis graduasi ini kerana ia bukanlah acara yang setiap hari boleh saya sertai.

“Selain itu, saya mahu meraikan pengorbanan diri saya, keluarga dan rakan-rakan serta tenaga pengajar yang banyak berkorban untuk saya menggenggam segulung ijazah,” katanya.

Dua lagi atlet yang menerima ijazah masing-masing ialah atlet taekwondo Ryan Chong Wy Lunn dan pemain futsal Nurul Atiqah Zaifulizan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan