KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-Undang Keselamatan telah menyiapkan laporannya berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang kini sedang diteliti oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal di Pejabat Peguam Negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementeriannya akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan Jemaah Menteri mengenai pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan berdasarkan pandangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas.

“Setelah mendapat keputusan Jemaah Menteri, pihak Jabatan Peguam Negara akan menyediakan Rang Undang-Undang yang berkaitan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dalam bulan November 2018 atau selewat-lewatnya dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang,” katanya di lobi Parlimen.

Tinggalkan Jawapan