Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman Anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau tidak pasti motif sebenar di sebalik niat bekas bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu menjejaki Jho Low secara bersendirian.

Bagaimanapun, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan hasrat Ahli Parlimen Barisan Nasional Sembrong itu untuk mencari ahli perniagaan paling dikehendaki polis dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya pun tak tahu, saya tak dapat nak komen pasal motif Hishammuddin, Mungkin ini berdasarkan contact (rangkaian luar) sedia ada.

“Kalau dia boleh bantu, kita alu-alukan dan sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengesan bukan sahaja Jho Low tetapi juga bapa dia dan beberapa orang lagi.

“Kita tidak ada halangan (niat Hishamuddin), kita alu-alukan, kalau dia boleh bantu itu cukup baik,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingay Jasa Pahlawan di Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fuzi mengesahkan bahawa polis masih berhubung dengan rakan sejawat di negara-negara asing untuk menjejaki dan menahan Jho Low.

Ditanya sama ada Hishammuddin akan dipanggil untuk diambil keterangan, beliau  berkata, tidak ada keperluan untuk polis berbuat demikian.

“Tidak perlu panggil dia, kita dah ambil segala langkah yang perlu termasuk menghubungi (rangkaian hubungan) di mana kita mengesyaki Jho Low berada,, sehingga kini hampir setiap masa berhubung dengan rakan sekerja di negara lain.

“Setakat ini belum ada petunjuk atau pengesahan pihak berkuasa setempat dan kita sudah berhubung dengan Interpol, kita masih menunggu maklumat untuk kita bawa balik Jho Low,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette