Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap pada sidang media selepas hadir pada Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman Anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Pihak yang menuntut hak ke atas barang kemas yang dirampas berkait rapat dengan kes siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta supaya tampil membuktikan barang tersebut adalah hak mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, gesaan itu termasuk bagi barang kemas yang dituntut sebuah firma tukang emas dari Lubnan.

Firma tersebut mendakwa ada di antara barang kemas yang dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan siasatan tersebut adalah milik mereka.

“Polis masih menjalankan siasatan ketika ini dan kita sedang mengumpul maklumat dari semua pihak.

“Ada yang mendakwa mereka ada hak ke atas barang-barang (kemas) itu.Jadi kalau mereka mendakwa merekalah berhak, dia kena buktikan,” katanya kepada pemberita di Mes Pegawai Kanan selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fuzi juga menambah, barang-barang kemas termasuk rantai berlian bernilai jutaan ringgit yang dirampas dari lima lokasi disyaki milik bekas perdana menteri Najib Tun Razak kini menjadi bahan bukti mahkamah dalam kes tersebut.

“Apabila ia menjadi ‘exhibit’ mahkamah, kita ada proses selain tempoh setahun untuk siasatan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 untuk menyimpan barang bukti itu.

“Jika mereka yang menuntut hak itu gagal membuktikan, bahawa barang kemas itu milik mereka,kalau ada keperluan kita akan menjalankan siasatan terhadap semua pihak selain Rosmah Mansor termasuk dari Lubnan (firma tukang emas) itu,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu,Rosmah Mansor dijangka tampil ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Menara KPJ di Jalan Tun Razak pagi esok untuk dirakam keterangan berkaitan kes 1MDB. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan