Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berucap pada Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman Anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Liputan kawasan Unit Siasatan lebuh Raya (USLR) akan diperluaskan meliputi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari utara semenanjung Jitra, Kedah hingga ke selatan tanahair, Johor Bahru mulai tahun depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, inisiatif ia bertujuan membuka luas peranan USLR dalam mengendalikan siasatan kes kemalangan ringan di lebuh raya.

“Kawasan perluasan operasi itu merangkumi jarak sejauh 863.7 kilometer di lebuhraya melibatkan lapan buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Saya yakin USLR dapat mencapai objektifnya dalam memberi manfaat sepenuhnya kepada pengguna lebuh raya da sekaligus menaikkan imej PDRM di mata masyarakat,” katanya dalam ucapan bersempena Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di sini.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Mohamad Fuzi berkata, projek perintis USLR beroperasi pada 7 September 2016 sebelum dilancarkan rasmi pada 9 Februari 2018 hasil kerjasama dengan PLUS.

Katanya, di peringkat awal liputan kawasan operasi meliputi sektor KL-Seremban dari Tol Sungai Besi hingga Senawang berjarak 66 kilometer serta melibatkan empat buah daerah iaitu Serdang, Kajang, Nilai dan Seremban.

Sejak pelancaran USLR sehingga 13 Oktober lalu, katanya sebanyak 5,256 kes telah disiasat oleh unit berkenaan dengan status kes selesai sepenuhnya.

“Alhamdullillah unit ini telah mendapat maklumbalas positif daripada pengguna jalan raya kerana ia mengaplikasi kaedah siasatan menggunakan kertas siasatan elektonik ‘e-IP’,” ujarnya.

Inisiatif itu menurunya telah memudahkan pengguna lebuh raya membuat laporan, menjimatkan masa, kos dan mengelakkan trauma berpanjangan kepada mangsa kemalangan.

Ditanya tempoh masa untuk perluasan USLR ke lapan negeri berkenaan, beliau berkata ia masih diperingkat perbincangan dan tidak mempunyai jangka masa tepat tetapi akan dilaksanakan tahun hadapan.

“Bahagian Sumber Manusia kita masih dalam proses perbincangan untuk menambah jumlah kekuatan anggota dalam perluasan USLR selain logistik kenderaan dan peralatan diteliti serta permohonan peruntukan kepada kerajaan dikemukakan.

“Setakat ini lebih 40 orang anggota dan pegawai penyiasat terlibat dalam USLR di lebuh raya yang menghubungkan empat daerah itu.

“Tiba masanya untuk diperluaskan operasinya ke utara selatan selepas mengambil kira kadar kemalangan di lebuh raya dan pasukan sedia ada berjaya mengurangkan kadar jenayah juga di Rumah Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya,” tegasnya lagi.

Ditanya mengenai harapan PDRM dalam Bajet 2019 yang bakal dibentang di Parlimen oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2 November ini, beliau berkata, jumlah peruntukan yang diharapkan PDRM mengambil kira kekangan kewangan dan ekonomi yang dihadapi kerajaan.

“Kita kena mengimbangi keadaan kekangan kerajaan dalam meminta segala peruntukan untuk menambahbaik aset dan kebajikan anggota dan pegawai PDRM, dan kami membuat permohonan munasabah,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette