Bekas pekerja Ladang Padang Meha di Kedah membuat bantahan di depan Menara MBF di Kuala Lumpur kerana tidak menerima pampasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 207 bekas pekerja Ladang Padang Meha di Kedah membuat bantahan di depan Menara MBF di sini kerana tidak diberi pampasan setelah diberhentikan kerja apabila ladang itu dijual oleh The East Asiatic Company (M) Bhd.

Penyelaras Jawatankuasa Tindakan Ladang Padang Meha, Karthigesan Rajamanickam berkata, mereka tidak menerima pampasan kerana syarikat induk pembeli dikatakan telah muflis.

“Mereka telah banyak kali berbincang untuk mendapatkan pampasan tersebut melalui pihak liquidator tetapi gagal,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia.

Seramai 212 orang bekas pekerja telah dihentikan kerja pada 1995 tanpa sebarang pampasan apabila ladang itu dijual kepada MBF Country Homes & Resort Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Syarikat Alamanda Development Sdn Bhd)

Pekerja Ladang Meha itu tidak dapat menyelesaikan isu yang pernah diutarakan itu dan satu tindakan alternatif dicadangkan bagi membolehkan semua pihak terlibat berbincang dan menyelesaikan isu yang telah berlanjutan sejak 1995.

Seramai 207 bekas pekerja telah membawa isu itu ke mahkamah untuk menuntut pampasan dan skim perumahan.

Perjuangan untuk menuntut pampasan akhirnya berjaya melalui proses mahkamah pada tahun 2011, yang mana keputusan mahkamah memihak kepada mereka untuk mendapatkan pampasan berserta pampasan tambahan sebanyak RM22,500 setiap pekerja.

Katanya, apa yang menghairankan ialah banyak tanah milik ladang itu telah berjaya dijual selepas itu dan melalui fasa pembangunan termasuk terlibat dengan projek perumahan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

“Malah sebahagian daripada penduduk turut menarik pihak Alamanda ke mahkamah untuk menunaikan keputusan mahkamah,” katanya.

Bekas pekerja ladang yang terlibat mendakwa Syarikat Alamanda Development Sdn Bhd tidak mahu berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Berikutan itu, bekas pekerja ladang itu memberi masa kepada pihak terbabit untuk menyelesaikan pampasan itu atau mereka terpaksa melakukan sesuatu untuk menghentikan kerja yang dilakukan pemaju. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan