Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan, beliau tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan sekiranya parti MCA perlu kekal atu meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

Jelas beliau yang juga merupakan calon untuk jawatan nombor satu parti itu, sekiranya beliau menang jawatan presiden namun akan membiarkan para perwakilan untuk membuat keputusan sewajarnya tentang kedudukan MCA dalam BN.

Kata Ka Siong, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk berbuat demikian sebaliknya membiarkan suara parti untuk menentukan halatuju parti yang kini dalam fasa baik pulih ketika ini apatah lagi kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

“Biar perwakilan yang buat keputusan untuk kekal atau tinggal dalam komponen BN. Itu yang sebetulnya dan pendirian saya amat jelas dalam perkara ini. Biarkan sahaja keseluruhan akar umbi membuat keputusan penting.

“Saya ingin katakan dengan jelas, sekiranya saya dipilih sebagai presiden parti nanti, saya akan tetapkan tempoh masa sehingga 2 Disember dan menyerahkan kepada perwakilan pusat untuk buat keputusan. Itu saja pendirian saya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang lagi calon presiden MCA, Gan Ping Sieu Isnin yang berikrar akan membawa keluar MCA daripada komponen BN seandainya beliau menang jawatan nombor satu parti.

Selain daripada Ping Sieu yang juga merupakan Ketua MCA Bahagian Kluang, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek turut memberikan bayangan MCA perlu keluar daripada BN baru-baru ini.

Pemilihan MCA kali ini sangat penting untuk membawa keluar parti itu dari kancah kekalahan terburuk kepada masa hadapan yang lebih baik.

MCA pula mula memainkan isu untuk keluar daripada barisan yang selama ini memerintah dan memakmurkan negara ini sejak negara merdeka lagi.-MalaysiaGazette