103
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyerahkan surat kelulusan kepada Thanapakkiom a/p Sannasy, 103 pada Majlis Penyerahan Kelulusan Kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 25 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Mungkin merupakan warga paling tua yang menerima surat kelulusan warganegara Malaysia, Thanapakkiom Sannasy, 103, gembira apabila permohonannya untuk mendapatkan “IC biru” (kad pengenalan warganegara Malaysia) menjadi kenyataan hari ini.

Dia yang dilahirkan di Tanjung Malim, Perak pernah memiliki kad pengenalan biru pada asalnya, bagaimanapun kesilapan cetakan pada nama bapanya menyebabkan ibu kepada 10 orang anak itu tidak dapat memperbaharui kad pengenalannya sekaligus hilang keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.

Kejadian yang sudah berlaku hampir 40 tahun itu tidak begitu memberi kesan kepada kehidupannya selama ini namun sejak perlu menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Thanapakkiom merasakan dia perlu berusaha gigih untuk mendapatkan semula kad pengenalan biru bagi mengurangkan kos rawatan.

Menurut anaknya, Thannakodi Vellasamy, 57, permohonan pertama kali dibuat pada 2013 dan mereka sering membuat susulan bagi memastikan ibunya mendapat semula status kewarganegaraannya.

“Kos pembedahan ditanggung IJN kerana ibu saya dipakaikan dengan satu alat yang baharu dan masih belum berada di pasaran.

“IJN gunakannya untuk mempromosikan alat tersebut bagaimanapun, kami masih perlu menanggung kos-kos rawatan yang lain.

“Apabila ibu saya ada kad pengenalan sendiri, senang untuk kami mendapatkan rawatan di mana-mana sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menemani ibunya menerima surat kelulusan kewarganegaraan Malaysia di sini hari ini.

Selain Thanaphanakkiom, seorang lagi penerima, Muniamah Rajalingam, 86, merasa sangat gembira apabila menerima surat kelulusan kewarganegaraan Malaysia selepas menunggu selama 20 tahun.

Dia yang dilahirkan di India tetapi dibawa oleh kedua-dua orang tuanya ke Tanah Melayu semasa zaman pendudukan Jepun ketika masih bayi begitu mengharapkan supaya diberikan status warganegara Malaysia.

Fasih berbahasa Melayu, Muniamah meneruskan kehidupan sebagai peniaga peralatan sembahyang.

“Dahulu saya pernah terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi sudah tiga tahun saya tidak menerimanya.

“Semoga selepas mendapat kad pengenalan ini, saya boleh mendapat semula wang bantuan tersebut,” katanya.

Muniamah dan Thanapakkiom merupakan antara 1,667 pemohon kewarganegaraan Malaysia berketurunan India yang berusia 60 tahun ke atas.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Warganegara Malaysia di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dekat sini berkata, kerajaan telah memberi keutamaan kepada permohonan kewarganegaraan bagi individu berketurunan India yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Secara keseluruhannya, JPN telah menerima sejumlah 3,853 permohonan kewarganegaraan daripada individu berketurunan India.

“Matlamat utama kerajaan menganugerahkan kewarganegaraan kepada individu yang layak bertujuan untuk menambah baik sosio-ekonomi rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Malah dengan pemberian taraf kewarganegaraan ini, kerajaan berharap setiap warganegara baharu dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera di negara.” katanya.-MalaysiaGazette