Datuk Mohd Imran Tamrin
Datuk Mohd Imran Tamrin

KUALA LUMPURĀ – Gesaan supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada jawatan Presiden UMNO merupakan satu keputusan terburu-buru dan ia perlu dibuat pertimbangan semula oleh Pergerakan Pemuda UMNO.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd. Imran Tamrin menegaskan, sayap parti sepatutnya mempertahankan parti dan tidak terpengaruh dengan strategi jahat pemerintah.

“Gesaan Datuk Seri Presiden (Ahmad Zahid) untuk bercuti atau berehat pada peringkat ini adalah satu keputusan terburu-buru. Kami menggesa kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia agar membuat pertimbangan semula.

“Sebagai sebuah parti bukan kerajaan kini, kita harus utuh mempertahankan parti.

“Jika kita juga terbuai serta terpengaruh dengan strategi jahat pihak lawan dalam melemahkan parti kita, maka tiada lagi lah benteng perjuangan dalam keluarga kita,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Asyraf Wajdi hari ini yang menggesa Ahmad Zahid bercuti buat sementara waktu daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Langkah itu bagi membolehkan Ahmad Zahid memberi tumpuan kepada 45 pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Imran juga berkata, kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO juga perlu mengambil kira suasana dan landskap politik semasa sebelum membuat ketetapan berhubung kes mahkamah melibatkan presiden parti.

“Ini semua ujian untuk kita semua bersatu dan terus bangkit dengan sokongan dan moral seluruh ahli dan kepimpinan.

“Kami juga berpegang kepada prinsip Rules of Laws. Namun hari ini kita lihat bukan Rules of Laws sebenar dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan.

“Mereka menumpukan pendakwaan terpilih terutama kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya yang juga seorang peguam.

Katanya lagi, kepimpinan Pemuda UMNO Sungai Besar berpendirian untuk terus menyokong Ahmad Zahid untuk kekal menggalas tugas sebagai presiden parti dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

“Selagi mana beliau belum didapati bersalah oleh mahkamah dan melalui proses perundangan serta kehakiman yang adil.

“Ianya sengaja disensasikan semata-mata untuk membenarkan segala fitnah dan tohmahan jahat PH terhadap UMNO dan BN pra PRU-14 lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan