Sirajuddin Salleh
Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Adalah suatu yang malang dan mengecewakan apabila seorang bekas menteri dari bangsa Melayu menggesa rakyat Malaysia menghentikan laungan ‘ketuanan bangsa’ yang dianggapnya sebagai merugikan dan tidak produktif kepada negara serta rakyat.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh ketika menzahirkan rasa kesal itu berkata, kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Rafidah Aziz jelas menggambarkan beliau tidak menghormati Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, sejarah dan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini sesuatu yang sangat malang dan mengecewakan kerana beliau adalah mantan menteri kabinet dan mantan ahli akademik,” katanya dalam kenyataan balas kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Rafidah dilaporkan berkata, ‘ketuanan’ mestilah selalu menjadi milik Malaysia sendiri, bukan mana-mana kumpulan, kaum atau agama di kalangan rakyat.

Menulis di ruangan pertama beliau dalam akhbar The Sun pada Selasa, bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia itu berkata, rakyat Malaysia hanya akan dihormati di peringkat global apabila dalam kalangan mereka, bangkit warganya yang berkemampuan dan berkemahiran, prestasi dan pencapaiannya dianggap sangat baik ketika diukur oleh tanda aras serta standard global.

Tegas Sirajuddin, Perkasa terpaksa menegur dan mengingatkan bekas menteri kabinet itu bahawa “ketuanan bangsa” yang dimaksudkan itu ialah Ketuanan Bangsa Melayu.

Dalam lain perkataan, katanya, Ketuanan Melayu juga sama sebagai hak keistimewaan Melayu di bumi Melayu dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apakah Rafidah lupa asal usul sendiri dan negara ini? Lupakah beliau akan Semenanjung Tanah Melayu, gugusan Kepulauan Melayu, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong?

“Lupakah beliau akan Wasiat Raja-Raja Melayu, Kontrak Sosial, Perkara 153 dan Perlembagaan Malaysia?” soal beliau.

Kata Sirajuddin, walaupun Hak Keistimewaan Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang didokongi semangat Ketuanan Melayu dan Dasar Ekonomi Baru, langkah preemptif masyarakat Melayu dari aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan bidang lain masih jauh ketinggalan dari bangsa lain.

Beliau juga mengingatkan Rafidah mengenai kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum untuk menjadi warganegara Malaysia dan Keistimewaan Melayu tidak bermakna orang Melayu diberikan segala kemudahan serta bantuan tanpa usaha dan pengorbanan.

“Untuk menjadi seorang doktor atau jurutera atau peguam, seseorang itu mesti mempunyai kelayakan diperlukan oleh profesion tersebut dan orang Melayu tidak terkecuali.

“Di mana ketuanan yang dimaksudkan oleh Rafidah? Perkasa mahu agar matlamat Ketuanan Melayu dihidupkan semula di bumi ini. Semua pemimpin Melayu mesti memperjuangkan matlamat ini sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.

Beliau bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan Rafidah sudah diperalatkan oleh puak tertentu untuk merobek hak Melayu sebegitu rupa.

“Dengan ini, kami mengingatkan kepada semua pemimpin khususnya dan rakyat Malaysia amnya supaya lebih berhati-hati apabila memberi komen dan pandangan yang melibatkan kaum dan Perlembagaan Persekutuan.

“Tafsirlah kandungannya dengan ikhlas bukan dengan membawa agenda politik munafik,” ujar beliau. – MalaysiaGazette