Anggota Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjangkakan jumlah anggota Parlimen daripada UMNO akan semakin menyusut menjelang akhir bulan ini.
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  menafikan tuduhan kononnya kerajaan mahu menjual aset semata-mata kerana keuntungan sahaja sebaliknya strategi tersebut bertujuan menyelamatkan entiti kerajaan seperti Felcra dan Felda.

Beliau dengan nada lembut juga menolak tohmahan Ahli Parlimen Pendang (Pas), Awang Solahudin Hashim yang melabel kerajaan terdesak dan seolah-olah seperti ‘peminta sedekah’ kerana menjual aset kerajaan disebabkan tidak mempunyai dana mencukupi.

“Janganlah pentingkan keuntungan semata-mata sahaja. Tolong pertimbangkan balik penjualan aset Felcra.  Adakah kerajaan teruk sangat sehingga menjadi seperti peminta sedekah?

“Jika kita berterusan menjual semua aset milik kerajaan, aset itu akan hilang selamanya-lamanya. Memang kita akan dapat duit tetapi ianya akan mencair manakala aset nilainya akan meningkat. Saya mohon pertimbang balik penjualan aset seperti Felcra dan Felda ini,” kata Awang Solahudin.

Bagaimanapun, Azmin menafikan kerajaan adalah peminta sedekah malah semua aset kerajaan tidak akan dijual begitu sahaja.

“Kita bukan peminta sedekah. Kita juga tidak berniat untuk menjual semua aset-aset Felcra. Yang kita bahaskan pada pagi adalah hartanah kita di Jalan Semarak yang mengalami kelewatan dan perlu diselamatkan.

“Ini juga bertujuan untuk tidak menjejaskan komitement Felcra terhadap lebih 100,000 peserta yang perlu diberikan dividen dan pembiayaan sara hidup seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak perlu diberi jaminan.

“Nilai tanah 4.2 ekar yang dimiliki oleh Felcra hanya bernilai RM115 juta. Maka sudah tentu kita tidak mahu tanah ini dibiarkan begitu sahaja tanpa meningkat nilai hartanah tersebut. Dengan pembangunan yang sedang berjalan, kita jangka pulangan kepada Felcra akan meningkat daripada nilai tanah disebutkan tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Krau (BN), Datuk Seri Ismail Mohamed Said bertanya mengenai rasional dan kesan jangka panjang penjualan Menara Felcra yang telah 50 peratus siap pembinaanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan