Shafee Abdullah
Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap kepada media ketika hadir ke mahkamah sesyen bagi membela anak guamnya yang menghadapai pertuduhan kes pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan enam pertuduhan baharu ke atas anak guamnya, Datuk Seri Najib Razak hari ini adalah sesuatu yang mengejutkan.

Beliau berkata, tuduhan tersebut hanya bersifat politik dan bahan jenaka semata-mata.

Malah jelas beliau, jumlah pertuduhan sebanyak RM6.6 bilion itu sebahagiannya merupakan wang yang diperuntukan kepada projek infrastuktur penting kepada rakyat seperti Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan saluran paip gas.

“Kita tidak pasti sama ada akan ada lagi pertuduhan namun pertuduhan ini bersifat politik kerana jumlah RM6.6 bilion itu tidak hilang dan hanya diperuntukan semula daripada satu bajet kepada bajet lain mengikut keutamaan.

“Dan ini tidak bermaksud peruntukan sebelum ini kekal kosong. Ia hanya hal berkaitan yang perlu diberi keutamaan di mana satu pihak dibayar terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Komples Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding berakhir.

Shafee berkata, barisan pembelaan kini sudah bersiap sedia berdepan dengan siri perbicaraan.

Jelas beliau, Peguam Negara telah membuat pertuduhan yang menjadi bahan jenaka dan boleh dipersoalkan.

“Ia (pertuduhan) merupakan proses membuat keputusan oleh Eksekutif menerusi Menteri Kewangan dan Ketua Perbendaharaan dan pelaksanaannya turut diamalkan oleh kerajaan sekarang.

“Jadi kita memandang ke hadapan dan fikir siri pertuduhan ini akan dapat menikmati perbicaraan yang menarik nanti,” katanya.

Shafee memberitahu, pihak tidak menolak kemungkinan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi kelak.
– MalaysiaGazette