Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan memandang serius permohonan kerajaan Kelantan untuk mendapatkan bantuan bagi perbelanjaan pengurusan untuk menampung kos operasi serta pembayaran gaji serta emolumen kakitangan kerajaan negeri tersebut.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, jumlah keseluruhan hutang negeri Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM1.865 bilion yang mana kira-kira RM1.46 bilion adalah hutang untuk pembangunan manakala baki sebanyak RM404.4 juta lagi adalah dana pendahuluan yang dihutang oleh kerajaan negeri pada 30 September lalu.

“Seperti yang semua sedia maklum, Kelantan adalah penerima dan penghutang terbesar dana pendahuluan.

“Perlu ditegaskan, hanya sebilangan kecil kerajaan negeri sahaja yang memohon dana pendahuluan untuk bayaran gaji/emolumen dan kos pengurusan.

“Negeri-negeri seperti Selangor, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang tidak pernah meminjam dana Pendahuluan kerana mereka tidak ada masalah membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan negeri.

“Saya terkejut ada barisan kepimpinan Pas yang tidak faham perbezaan di antara hutang untuk pembangunan dan untuk pengurusan.

“Begitu juga dengan mereka yang masih tidak mahu mengakui kedudukan kewangan kerajaan negeri Kelantan yang begitu kritikal sehingga tidak mampu membayar gaji kakitangan Kerajaan Kelantan.

“Saya perlu ulangi bahawa bantuan kewangan untuk Kerajaan Negeri Kelantan membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan masih akan diluluskan meskipun dicerca oleh barisan kepimpinan Pas dan juga ketika Kerajaan Persekutuan sedang berhadapan dengan pelbagai kekangan kewangan.

“Sama ada audit perlu dijalankan ke atas Kerajaan Kelantan terpulanglah kepada kerajaan negeri kerana itu hak, tanggungjawab dan amanah masing-masing dan Kerajaan Persekutuan tidak akan campur tangan dalam urusan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak harus memainkan sentiment negatif kepada Kerajaan Persekutuan kerana bantuan kewangan sebanyak RM22.5 juta tetap diberikan pada bulan Ogos untuk pembayaran gaji dan emolumen kerajaan negeri.-MalaysiaGazette