Jho low
Low Taek Jho

BANGKOK – Kerajaan mengalu-alukan usaha oleh mana-mana pihak yang dapat berhubung dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang sedang melarikan diri, dan membawanya pulang ke tanah air, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas tawaran dibuat bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menggunakan jaringan hubungannya untuk mencari Jho Low dan membawanya pulang ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya tidak perlu terima tawaran (Hishammuddin), jika beliau mahu berbuat demikian beliau boleh lakukan. Sesiapa sahaja yang fikir mereka boleh hubungi Jho Low dan bawanya pulang ke tanah air, kami akan terima,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan dua hari beliau di Thailand, hari ini.

Beliau berkata Hishammuddin boleh mencari ahli perniagaan itu menerusi usahanya sendiri.

Dr Mahathir berada di Bangkok bagi lawatan dua hari sejak semalam dan telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha, dengan mereka membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama termasuk proses damai di selatan Thailand.-BERNAMA