Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan masih dalam proses kajian serta mendapatkan maklum malas daripada semua pemain industri berhubung cadangan Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) untuk menamatkan jualan rokok bebas cukai di zon bebas cukai.

Antara kawasan bebas cukai yang telah dicadangkan oleh IDEAS ialah Labuan, Langkawi dan Tioman bagi membendung aktiviti perdagangan haram di negara ini.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai kumpulan termasuk Kementerian Kesihatan kerana yakin cadangan tersebut mempunyai kaitan dengan masalah penjualan rokok secara haram.

“Kita sedang mengkaji cadangan ini. Sebenarnya, kita perlu menerima hakikat seandainya meletakan kadar duti terlalu tinggi, kesannya adalah penjualan secara haram melebihi yang dibenarkan kerajaan.

“Kita tunggu maklumbalas daripada semua pihak berkepentingan sebelum buat apa-apa pengumuman berkaitan perkara ini,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen sebentar tadi.

Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan (PH) mengulas laporan IDEAS yang mendedahkan pengakuan oleh kerajaan terdahulu bahawa pulau bebas cukai berkenaan menjadi sumber bagi mendapatkan produk tembakau secara haram.

Walaupun sebelum ini cadangan menghentikan penjualan rokok di kawasan bebas cukai pernah diutarakan beberapa kali namun pelaksanaanya tidak dapat dilakukan.

IDEAS turut mencadangkan supaya kerajaan berhenti menaikkan duti eksais ke atas tembakau dan mempertimbangkan untuk menyemak semula regim percukaian semasa.

Ia berikutan peningkatan pelbagai cukai yang dikenakan ke atas rokok telah menyebabkan harganya meningkat dan membawa kepada pertambahan jumlah perdagangan haram bagi tembakau. – MalaysiaGazette