Kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy.
Kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy.

“Saya ingin menyatakan bahawa meratifikasi konvensyen-konvensyen ini termasuk ICERD adalah selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Komitmen ini bukan sahaja diberi oleh saya tetapi juga Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mujahid Rawa. Ia diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutup Persidangan Kebangsaan ke-8 yang dianjurkan Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) mengenai ‘Malaysia Ke Arah Pengesahan ICERD’ di Petaling Jaya semalam.

Selain ICERD, Malaysia masih belum mengesahkan perjanjian antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah atau Hukuman.

Turut sama adalah Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka serta Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Untuk Semua daripada Kehilangan yang Dikuatkuasa.

Waytha Moorthy berkata walaupun ada beberapa perkara yang mungkin menjadi penghalang dalam pengesahan ICERD, kerajaan percaya konvensyen antarabangsa boleh ditandatangani dengan pengecualian.

Ini terbukti pengiktirafan Malaysia dalam menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), katanya.

“Kita juga perlu ingat pengesahan ICERD mungkin memerlukan kerajaan untuk mengubah suai beberapa undang-undang dan dasar-dasar sedia ada.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, saya akan mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan utama tentang pengesahan ICERD,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan