Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tetap bertegas dengan keputusan untuk membatalkan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bagi semua bahagian agensi, sekolah, universiti, kolej dan semua institusi di bawah.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, walaupun akhbar itu kini sudah menukar saiznya kepada lebih kompak, pihaknya masih melihat isi kandungannya masih berada pada takuk lama.

Kata Nie Ching, Utusan Malaysia bukan akhbar untuk suara rakyat, sebaliknya lidah kepada parti politik UMNO yang bersifat perkauman.

“Berita dari surat khabar ini boleh dicapai dari atas talian, juga boleh diperoleh daripada media sosial.

“Kementerian Pendidikan hanya berhasrat untuk melanggan akhbar yang menguar-uarkan nilai murni, memupuk perpaduan dan bukan sebaliknya,” katanya ketika sesi soal jawan di Dewan Rakyat hari ini.

Nie Ching menjawab persoalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu (BN), Datuk Rosol Wahid yang hendak kepastian keputusan untuk menghentikan langganan akhbar tersebut akan ditarik balik.

Rosol Wahid membuat saranan itu dengan menyatakan Utusan, Mingguan Malaysia kini tampil dengan wajah baharu dengan saiz tabloid yang lebih mesra pembaca.

Tambah Nie Ching, saiz bukan punca mengapa kementerian beliau membuat keputusan tersebut, sebaliknya isi kandungan dalam akhbar tersebut.

“Pertukaran saiz tidak semestinya menunjukkan perubahan pemikiran. Ini sama seperti kini kita sudah tukar tempat, kamu duduk di sebelah sana, kami di sini. Ini tidak bermakna pemikiran di sana tiada unsur perkauman,” ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rasah (PH), Cha Kee Chin memberi cadangan agar akhbar Sinar Harian pula diberi peluang langganan selepas ini.

Bagaimanapun, akhbar The Star milik MCA tidak dihentikan langganan ketika ini.

“Kita tiada saranan terhadap langgan terhadap The Star setakat ini. Bagaimanapun, ingin saya jelaskan di sini, kerajaan PH tidak akan mewajibkan mana-mana sekolah atau agensi berkaitan melanggan akhbar terbitan PH,” ujarnya.

Ogos lepas, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik telah mengarahkan langganan Utusan, Mingguan Malaysia di bawah agensinya dibatalkan serta merta. – MalaysiaGazette

Surat batal langganan Utusan