Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berhadapan enam pertuduhan pecah amanah bersama membabitkan lebih RM6.6 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berhadapan enam pertuduhan pecah amanah bersama membabitkan lebih RM6.6 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah diikat jamin masing-masing sebanyak RM1 juta setiap orang dalam kes pecah amanah dan pasport antarabangsa mereka diserahkan serta dilarang mengganggu saksi kes.

Bagaimanapun peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan itu kepada RM500,000 dengan tempoh tiga minggu untuk menjelaskan bayaran dengan mengambil kira situasi Najib yang banyak menjelaskan bayaran ikat jamin dalam 32 kes sebelum ini.

Beliau memohon mahkamah membenarkan wang jaminan yang munasabah dengan mempertimbangkan segala kerjasama dan kelakuan baik tertuduh dalam siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melibatkan kes kes pendakwaan di mahkamah sebelum ini selain ketaatan bekas Perdana Menteri itu bekerjasama kepada kes mahkamah sehingga selesai.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menggesa mahkamah mengambil tahap keseriusan kes itu dalam membenarkan jaminan terhadap Najib sambil menyifatkan Ahli Parlimen Pekan itu bukan seorang ‘good Samaritan’ (bukan orang yang baik/amanah) dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam tertinggi negara sebelum ini.

Shafee mencelah dengan menjelaskan, selagi seseorang itu belum disabitkan kesalahan dia masih berhak mendapat pembelaan dan tidak wajar mengelar anak guamnya dengan gelaran sebegitu di mahkamah.

Hakim Azman Ahmad memutuskan: “Setelah dengar kedua dua pihak berhujah, mahkamah memutuskan sedemikian iaitu OKT satu dan dua diikat dengan wang jaminan RM1 juta dengan dua penjamin dan syarat kedua ialah menyerahkan pasport antarabangsa, sekirsnya ada pasport diplomatik perlu diserahkan sehingga kes selesai.

“Dan kedua dua OKT dilarang mengganggu mana mana saksi kes pendakwaan,” katanya.

Namun Shafee sekali lagi bangun merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM500,000 setelah berbincang dengan anak guamnya.

“Yang Arif kami juga memohon supaya tempoh tiga minggu diberikan untuk menbayar wang jaminan itu kerana perlu melihat situasi kemampuan klien untuk menguruskan jumlah itu,” tegasnya.

Namin permintaan itu dicelah SPRM supaya mahkamah tidak memberikan keistimewaan itu kepada tertuduh, sebaliknya tempoh seminggu mencukupi dan kes sebelum ini tempoh yang lama telah diberi kepada tertuduh.

Shafee bagaimanapun meminta mahkamah tidak menganggapnya sebagai keistimewaan, sebaliknya tempoh masa untuk tertuduh menguruskan wang jamin dengan mengambil kira situasi semasa selain kerjasama anak guamnya yang lima kali hadir memberi keterangan kepada SPRM dalam kes berkenaan.

Azman Ahmad mengekalkan keputusan ikat jamin sebanyak RM1 juta untuk kedua dua tertuduh dengan dua penjamin serta dikehendaki membayar separuh iaitu RM500,000 pada hari ini dan selebihnya dalam tempoh 10 hari bermula hari pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 29 November ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Terdahulu, Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6,636,065,000. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggalkan Jawapan