Ahli keluarga kepada penumpang pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada 2014 masih menaruh harapan dan percaya orang kesayangan mereka masih hidup.
Foto hiasan

LONDON – Polis Perancis sedang menyiasat sama ada data penerbangan pesawat MH370 telah digodam bagi mengaburi lintasan pesawat itu sebelum ia terhempas di lautan.

Para penyiasat telah mengenalpasti ‘penumpang mencurigakan’ berada dalam pesawat Boeing, B777 itu. Mereka percaya ia memerlukan siasatan lanjut, termasuk seorang pakar aeronautik yang duduk di bawah alat komunikasi satelit yang mampu menggodam sistem pesawat.

Mereka turut menemui ‘entiti ketiga’ yang mungkin mempunyai data berguna, berkemungkinan perisian yang mampu menggodam sistem komunikasi satelit pesawat, lapor Evening Standard.

Para pegawai berharap untuk pergi ke Amerika Syarikat (AS) bagi meneliti data Boeing dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas mendapati lapotan kerajaan Malaysia yang ‘tidak konsisten’.

Perkembangan terbaharu itu didedahkan Ghyslain Wattrelos, warga Perancis yang kehilangan isteri dan dua anak remaja pada sidang media.

Wattrelos berkata, beliau diberitahu oleh pasukan siasatan kehilangan pesawat itu, Gendamarie Air Transport (GTA), bahawa mereka mendapati laporan rasmi siasatan Malaysia ‘tidak konsisten’.

GTA berharap untuk terbang ke AS bagi meneliti maklumat Boeing dan FBI.

Lawatan sebelum ini dibatalkan selepas perbalahan mengenai ‘klausa kerahsiaan’ dan perlindingan ‘kerahsiaan industri’ Boeing.

“Kami marah dan kini kami mahu berkata berhenti, masanya telah sampai AS bekerjasama dalam isu ini.

“Adalah penting untuk pergi ke sana kerana terdapat tiga entiti yang mempunyai maklumat penting bagi memahami apa yang telah berlaku dalam pesawat,” kata Wattrelos kepada wartawan.

Kini para penyiasat mahu bercakap dengan ‘entiti ketiga’, sebuah syarikat AS yang tidak mahu dikenali, bagi menentukan sama ada syarikat tersebut menjual perisian yang mampu memprogram semula, malah menggodam komunikasi satelit, lapor Le Monde.

“Jejak yang penting ialah data Inmarsat. Sama ada ia palsu atau ia telah digodam.

“Bagaimanapun, data satelit ini penting untuk memahami dengan lebik baik lintasan pesawat,” kata Wattrelos.

Para penyiasat juga mendapati kehadiran ‘penumpang aneh’ dalam laporan kerajaan Malaysia, yang mereka percaya perlukan dilakukan siasatan lanjut. – Agensi