Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti buat sementara waktu daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada semua 45 pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.

“Pemuda UMNO melahirkan rasa simpati dan amat dukacita dengan jumlah pertuduhan yang terpaksa dihadapi oleh Presiden UMNO.

“Dengan ini, Pemuda UMNO menggesa beliau bercuti buat seketika daripada tugas Presiden sehingga selesai kes beliau dibicara dan diputuskan di mahkamah,” katanya pada sidang media hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di ibu pejabat UMNO hari ini.

Asyraf Wajdi juga menegaskan, cadangan itu juga bukan menganggap Ahmad Zahid bersalah dan bukan satu desakan untuk melepaskan jawatan nombor satu dalam UMNO itu.

“Tidak adil bagi kita membebankan presiden parti dengan begitu banyak pertuduhan dalam keadaan UMNO perlu bergerak pantas ke hadapan dan dalam suasana politik yang berbeza pada hari ini.

“Rehat atau bercuti itu tidak memberi isyarat bahawa beliau sudah dijatuhkan sebagai bersalah atau itu bermakna beliau perlu melepas jawatan presiden parti.

“Prinsip parti kita selagi beliau tidak dibuktikan bersalah, tidak wajar untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Katanya lagi, Ahmad Zahid perlu diberi keadilan dan mendapat hak untuk dibicarakan secara adil di mahkamah dan bukannya di media secara terbuka.

“Apa yang berlaku hari ini seolah-olah hukuman telah dijatuhkan sebelum beliau dibicarakan di mahkamah secara terbuka.

“Seseorang itu tidak dianggap bersalah sehinggalah dia didapati dan disabitkan bersalah oleh mahkamah,” katanya.

Ditanya tentang sama ada cadangan itu sudah dikemukakan atau sebaliknya, Asyraf bagaimanapun berkata, hasrat itu akan dimaklumkan kepada Ahmad Zahid pada hujung minggu ini.

“Hujung minggu ini kita ada retreat UMNO dengan presiden dan kita akan menyampaikan hasrat kami nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette