Malakoff
Malakoff Corporation Bhd.

KUALA LUMPUR- Harga saham Malakoff Corp. Bhd. jatuh 3.9 peratus ketika ditutup tengahari tadi selepas kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan lesen empat loji penjana tenaga bebas (IPP).

Pada jam 12.29 tengahari, saham Malakoff jatuh tiga sen kepada 83 sen dengan sejumlah 698,000 saham bertukar tangan.

Terdahulu di Parlimen, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, keputusan membatalkan empat projek IPP itu berkuatkuasa serta merta dan membolehkan kerajaan menjimatkan sekurang-kurangnya RM1.26 bilion.

Ia melibatkan projek Loji Jana Kuasa berkapasiti 700 megawatt (MW) oleh Malakoff Corporation Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar yang terpaksa dibatalkan kerana pemaju tidak patuh dengan syarat dalam surat tawaran.

Selain itu, projek lain ialah projek Loji Janakuasa 1,400 MW oleh Aman Majestic Sdn Bhd dan TNB di Paka, Terengganu, projek Loji Janakuasa Kitar Padu gas 300 MW oleh Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn Bhd dan SM Hydro Energy Sdn Bhd di Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Sandakan.

Ini juga termasuk pembatalan kuota tenaga solar sebanyak 400 MW kepada Edra Power Holdings Sdn Bhd bagi pembangunan loji janakuasa solar.-MalaysiaGazette