Muhyiddin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin

PUTRAJAYA – Keputusan untuk membuka semula siasatan kematian Teoh Beng Hock terserah kepada Pejabat Peguam Negara dan bukannya polis atau Kementerian Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis hanya boleh melakukan siasatan semula terhadap kes berkenaan sekiranya mendapat arahan daripada Peguam Negara.

“Saya dimaklumkan bahawa sebarang keputusan (untuk membuka semula siasatan) terserah kepada Peguam Negara dan kini ia masih di peringkat Peguam Negara.

“Setakat ini, masih belum ada sebarang arahan,” katanya semasa sidang media selepas  menyerahkan surat kelulusan warganegara Malaysia di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Hassan yang hadir pada majlis berkenaan juga mengesahkan pihaknya masih belum menerima apa-apa arahan daripada Peguam Negara untuk membuka semula siasatan kematian bekas pembantu Adun Selangor itu.

Beng Hock  ditemui mati pada 16 Julai 2009 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam sehari selepas ditahan berhubung siasatan penyalahgunaan wang wakil rakyat negeri Selangor.

Keluarga mendiang pernah membuka semula siasatan kes kematiannya pada 2011 dan 2014 bagaimanapun ditolak mahkamah.

Semalam, peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Ram Karpal meminta Muhyiddin menggesa pihak polis menyegerakan proses membuka semula siasatan. – MalaysiaGazette