Wabak beguk

KUALA LUMPUR – Dua buah sekolah berasrama penuh (SBP) iaitu Sekolah Menengah (SM) Agama Persekutuan Kajang, Selangor dan SBP Integrasi Gombak, Selangor ditutup sementara bermula hari ini ekoran jangkitan wabak beguk.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, penutupan kedua-dua sekolah berkenaan dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kes telah direkodkan mulai awal Oktober 2018 melibatkan 36 orang murid dari SM Agama Persekutuan Kajang, Selangor yang telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Sungai Chua, Kajang. Notis Penutupan Bersyarat telah dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat pada 12 Oktober 2018.

“Bagi tujuan kuarantin, pihak sekolah telah mengeluarkan arahan kepada murid Tingkatan 1 hingga 3 untuk pulang ke rumah mulai 12 Oktober sehingga 26 Oktober dan Tingkatan 4 mulai 12 Oktober sehingga 16 Oktober 2018. Tindakan kawalan jangkitan wabak dan pembersihan disinfeksi telah dilakukan oleh Kontraktor Kebersihan Bangunan dan Kawasan mulai 12 sehingga 14 Oktober 2018,” ujar kenyataan yang sama.

Bgaimanapun, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat telah mengeluarkan notis baharu iaitu Notis Perintah Tutup Premis dari 23 Oktober sehingga 9 November 2018 kerana terdapat satu kes dicatatkan pada 23 Oktober 2018.

Dalam pada itu, di SBP Integrasi Gombak pula, seramai 15 orang murid telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Gombak pada bulan Oktober 2018 di mana kes terakhir yang dicatatkan pada 23 Oktober 2018 sebanyak tiga kes.

Tindakan kawalan jangkitan wabak dan pembersihan disinfeksi telah dilakukan oleh Kontraktor Kebersihan Kawasan dan Bangunan mulai 19 sehingga 21 Oktober 2018 dan Notis Perintah Tutup Premis telah dikeluarkan oleh PKD Gombak pada 24 Oktober 2018 di mana sekolah itu akan ditutup sehingga 9 November 2018.

Sehubungan dengan itu, KPM telah mengarahkan kedua-dua buah sekolah terbabit akur dengan arahan dan melaksanakan semua urusan penutupan sekolah secara teratur.

Kedua-dua sekolah terbabit juga telah diminta menjalankan disinfeksi dan sentiasa berhubung dengan ibu bapa mengenai perkembangan mutakhir terutama bagi mereka yang mempunyai anak yang akan menduduki peperiksaan mulai minggu kedua bulan depan.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan