Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh
Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Perak mengecam tindakan Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menyamakan situasi dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Rasulullah SAW.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, apa yang diperkatakan oleh Lokman itu suatu yang mengaibkan dan mengguris hati umat Islam.

Katanya, apa yang berlaku ke atas Ahmad Zahid tidak boleh disamakan dengan Rasulullah kerana situasinya adalah berbeza.

“Lokman Adam, pemimpin-pemimpin atau ahli-ahli UMNO yang bersekongkol dengannya perlu bermuhasabah diri dan tidak lagi menjual agama dengan harga yang murah walau apa jua alasannya termasuklah usaha terdesaknya menyelamatkan UMNO dan pemimpinnya yang semakin lemas dalam lumpur ciptaan mereka sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam sebuah video yang dimuat naik oleh Lokman dan menjadi tular di laman sosial, bekas pengarah komunikasi strategik di Kementerian Kewangan itu menjadikan contoh Nabi Muhammad SAW yang pernah difitnah, dicerca dan dimaki ketika di zamannya.

Video tersebut dibuat sebagai memberi peringatan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak Ahmad Zahid supaya bercuti sementara menunggu perbicaraannya di mahkamah selesai.

Minggu lalu, Ahmad Zahid didakwa dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta. – MalaysiaGazette

Pemuda UMNO cadang Zahid bercuti 

Tak salah gesa presiden berehat, itu sejajar amalan parti – Md Jais Sarday

Zahid tidak perlu direhatkan – Armand

Tinggalkan Jawapan