Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kalau mentadbir Kelantan selama 28 tahun setakat menumpukan hasil pendapatan dari sumber tanah, hutan, mineral dan kayu kayan, Pengerusi Belia Masyarakat Orang Asli, Dendi boleh jadi menteri besar.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, beliau terkejut apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub mendedahkan hasil pendapatan kerajaan negeri selama ini adalah tertumpu kepada hutan dan sumber mineral.

Katanya, sebelum ini kerajaan menafikan apabila berlaku tanah runtuh, air Sungai Kelantan bertukar warna dan berlaku kerosakan alam sekitar berpunca daripada pembalakan tanpa terkawal.

“Menteri Besar Kelantan kata negeri itu mempunyai wang yang cukup untuk bayar gaji kakitangan awam melalui premium balak dan tanah.

“Ini satu pengakuan yang mengejutkan saya dan rakyat Kelantan khususnya kerana selama ini mereka menafikan bila berlaku kejadian tanah runtuh, banjir kuning dan selut,” katanya kepada media di pejabatnya di sini, hari ini.

Rabu lalu, kerajaan Pas Kelantan menegaskan pembayaran gaji penjawat awam di negeri itu mencukupi dengan perolehan hasil negeri sebanyak RM300 juta setahun.

Ahmad dilaporkan berkata, pendapatan itu diperoleh melalui sumber daripada hasil tanah, hutan, mineral dan kayu-kayan di negeri ini.

Beliau berkata, tidak timbul isu pembayaran emolumen dan gaji kerana apa yang dipohon kepada kerajaan Pusat adalah ‘Pendahuluan Boleh Dituntut’ bagi menampung keperluan aliran tunai di negeri yang memerlukan.

Menurut Ibrahim, selama ini kerajaan negeri cuba menyembunyikan kepada rakyat akan kegagalannya mencari duit untuk mengembangkan ekonomi negeri, selain menunggu royalti minyak yang entah bila akan diperolehi.

Katanya, kalau menjadi Menteri Besar setakat mampu tebang balak dan meluluskan tanah untuk mendapatkan premium, lebih baik serahkan sahaja jawatan itu kepada Oran Asli.

“Dengan ini, saya cadangkan Pengerusi Belia Orang sli bernama Dendi boleh jadi menteri besar Kelantan. Sebab jadi menteri besar setakat tebang balak dan jual tanah,” katanya berseloroh.

Mengenai saranan Naib Pengerusi Pakatah Harapan Kelantan, Senator Husam Musa mencadangkan kerajaan Pusat melebarkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,  Ibrahim berkata, beliau sudah lama mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan Persekutuan bawah Barisan Nasional (BN).

“Perkara ini sudah lama saya cadangkan, ketika saya Ahli Parlimen lagi saya cadangkan supaya lapangan terbang itu dinaiktaraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.

“Lagipun, menaiktaraf lapangan terbang ini lebih baik daripada ECRL,” katanya. – MalaysiaGazette