Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam lubang tadahan air dengan kesan tikaman di seluruh tubuh di Ladang Kambau, Kota Tinggi, dua hari lepas.
Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam lubang tadahan air dengan kesan tikaman di seluruh tubuh di Ladang Kambau, Kota Tinggi, dua hari lepas.

JOHOR BAHRU – Polis menyerbu sebuah parti liar di satu kondominium di kawasan Danga Bay di sini semalam dan menahan 20 individu termasuk dua remaja berumur 15 dan 17 tahun kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata dalam serbuan menerusi Ops Tapis antara pukul 10 pagi dan 3 petang semalam itu, polis memeriksa 26 individu termasuk 16 lelaki dan 10 perempuan di kondominum itu.

Katanya 17 daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tiga lagi positif ketamine.

“Kesemua 20 individu itu pula melibatkan 15 lelaki dan lima perempuan termasuk seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan seorang remaja perempuan 15 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata siasatan mendapati remaja perempuan itu masih bersekolah di Seri Alam di sini, manakala remaja lelaki itu tidak lagi bersekolah.

Beliau berkata hasil soal siasat, kesemua mereka mengaku mengambil dadah di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa di sini sehari sebelum itu dan pergi ke kondominium itu untuk berehat.

Katanya kesemua mereka dipercayai berkongsi menyewa kondominium itu pada harga RM300 satu malam dan kebanyakan mereka tiba di kondominium itu selepas pukul 2 pagi semalam.

Daripada soal siasat, polis percaya seorang lelaki tempatan dikenali dengan nama samaran “Man” yang menetap di Pontian, dikatakan penganjur parti liar itu, kata beliau.

“Man dikatakan menjemput rakan kenalannya melalui laman sosial WeChat dan rakan-rakan yang lain pula menjemput kenalan lain menjadikan lebih ramai yang datang ke parti liar tersebut. Bagaimanapun ‘Man’ tidak ada semasa serbuan dilakukan,” katanya.

Menurut Shahurinain, pemeriksaan di premis berkenaan tidak menemui sebarang minuman keras dan tiga hingga empat daripada yang ditahan itu dipercayai telah sering terlibat dengan parti liar.

Katanya ia kali pertama kondominium itu diserbu kerana kegiatan parti liar manakala pemilik kondominium dikatakan tidak tahu rumahnya digunakan untuk kegiatan tidak bermoral kerana penyewaannya diurus ejen.

Kesemua 20 mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan