Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUANTAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang penghantar ikan kerana memuatnaik komen menghina kematian dua anggota polis dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Selasa lepas.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hannan Ibrahim, 27, yang berasal dari Kampung Parit Tengah, Pekan dekat sini, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Hukuman diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 23 Okt lepas.

Tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa memuatnaik komen menghina kematian dua anggota polis itu dengan menggunakan akaun Facebooknya dalam laman Komuniti Kuantan pada pukul 5.30 petang, 23 Okt lalu.

Perbuatan tertuduh yang didakwa dilakukan dengan menggunakan telefon bimbit jenama Samsung Galaxy J2 Prime miliknya dan dilakukan dengan tujuan menyakitkan hati sesetengah pihak.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Mohd Hannan yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya atas alasan dia hanya bekerja sebagai penghantar ikan patin dari Pekan ke Temerloh dengan pendapatan RM1,600 sebulan.

“Saya mohon tempoh penjara yang singkat kerana saya menanggung ibu bapa dan seorang anak saudara. Emak saya tidak sihat dan saya yang perlu menjaganya,” katanya yang sempat mengucapkan terima kasih kepada hakim selepas hukuman dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang awam supaya lebih berhati-hati dalam tindakan mereka dalam laman sosial.

“Tindakan tertuduh yang meninggalkan komen di posting berkaitan kematian dua anggota polis itu bukan hanya mendatangkan kemarahan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi juga mengguris hati keluarga mangsa,” katanya.

Pada Selasa lepas, dua anggota polis dari cawangan Gerakan IPK Kuantan, Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, dan Konstabel Watson Edin, 23, maut selepas kereta peronda dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan di kilometer 183.4 LPT, dekat Maran.

Mereka dalam operasi mengiringi kenderaan yang membawa kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dalam perjalanan dari Bentong ke Kuantan semasa kejadian berlaku pukul 3.20 petang.

— BERNAMA