PDRM
Seorang pegawai kanan PDRM bergelar datuk yang disiasat oleh SPRM tiba untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Permohonan reman terhadap seorang pengarah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bergelar ‘Datuk’ yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangguh ke pukul 3 petang ini ekoran ketiadaan majistret.

Beberapa pegawai agensi penguatkuasa itu dilihat mengiringi suspek yang hadir memakai baju lokap SPRM berwarna oren.

Mereka tiba pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM berwarna hitam.

Kesemua mereka hanya berada di mahkamah kira-kira 5 minit dan beredar selepas dimaklumkan mengenai ketiadaan majistret itu.

Pegawai kanan berusia 56 tahun berpangkat Senior Asisten Komisioner itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini jam 7.10 malam semalam.

Beliau ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah berjumlah lebih RM100,000.

Menurut sumber, suspek yang bertugas sebagai Pengarah Jabatan di Bukit Aman disyaki meminta dan menerima wang rasuah berkenaan antara Ogos 2017 hingga Ogos lalu. – MalaysiaGazette