Proses bidaan bagi kapal mewah 'Equanimity' milik Low Taek Jho ataupun lebih dikenali sebagai Jho Low akan bermula Isnin ini sehingga 28 Nov, kata Ong Chee Kwan, peguam bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Proses bidaan bagi kapal mewah 'Equanimity' milik Low Taek Jho ataupun lebih dikenali sebagai Jho Low akan bermula Isnin ini sehingga 28 Nov, kata Ong Chee Kwan, peguam bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

KUALA LUMPUR – Proses bidaan bagi kapal mewah ‘Equanimity’ milik Low Taek Jho ataupun lebih dikenali sebagai Jho Low akan bermula Isnin ini sehingga 28 Nov, kata Ong Chee Kwan, peguam bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ong berkata Mahkamah Admiralti juga telah meluluskan terma dan syarat bagi proses bidaan yang akan berlangsung selama sebulan, mereka yang berminat untuk membeli kapal mewah Equanimity itu perlu bayar deposit sebanyak USD1 juta (RM4.17 juta).

“Ini bukan bidaan dalam talian, tidak semua individu boleh disertakan dalam senarai pembida, hanya mereka yang berkelayakan sahaja dan mereka perlu bayar deposit sebanyak USD1juta, ini bagi memastikan hanya pembeli yang serius sahaja datang membuat bidaan,” katanya.

Ong yang turut mewakili dua anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes itu dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Khadijah Idris di sini, hari ini.

Ong berkata bagi pembida yang berkelayakan mereka berpeluang melihat keadaan kapal mewah yang berharga USD250 juta (RM1.42 bilion) itu dan satu tarikh akan ditetapkan bagi tujuan itu.

“Mereka akan mendapat borang tawaran, menandakan mereka menerima syarat-syarat penjualan, ia akan dimasukkan ke dalam sampul dan akan dihantar kepada pegawai Mahkamah Admiraliti yang akan membukanya selepas bidaan,” katanya.

Beliau berkata laporan penilaian itu adalah sulit dan hanya Sheriff sahaja yang tahu dan akan menetapkan satu tarikh bagi membuat cabutan bidaan.

Ong berkata maklumat lengkap berkenaan bidaan kapal mewah itu juga akan disiarkan dalam akhbar tempatan dan antarabangsa sama ada hari ini atau esok, individu yang berminat boleh menghubungi ejen pusat.

Beliau berkata, bagi pembida yang berjaya dipilih oleh sheriff mahkamah, dikehendaki membayar 10 peratus daripada harga keseluruhan kapal dan baki 90 peratus dalam tempoh 10 hari kemudian.

Pada 19 Okt lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal itu.

Mahkamah juga memutuskan dua syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited sebagai pemilik sah dan benefisiari kapal berkenaan, sehubungan itu, secara tidak langsung kerajaan Malaysia adalah benefisiari kedua-dua syarikat itu.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan