UMNO perlu membuktikan kepada rakyat yang sedang menilai, bahawa parti itu berani bertindak bukan sekadar menyerang seterunya. - Md Jais Sarday
UMNO perlu membuktikan kepada rakyat yang sedang menilai, bahawa parti itu berani bertindak bukan sekadar menyerang seterunya. - Md Jais Sarday

KUALA LUMPUR – Bukan hanya Presiden, bahkan mana-mana Ketua-ketua Bahagian yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah perlu bercuti, kata Datuk Md Jais Sarday.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kluang itu, cadangan Pergerakan Pemuda UMNO agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada menjalankan tugasnya sebagai Presiden merupakan amalan parti sebelum ini apabila berhadapan dengan situasi yang sama.

Beliau juga yakin bahawa keputusan sayap parti itu tidak dibuat secara semberono sebaliknya hasil pertimbangan perbincangan secara terperinci.

“(Cadangan) Itu adalah amalan yang dilakukan selama ini pun. Maknanya secara pertimbangan pemimpin tertentu yang didakwa sama ada dia akan bercuti sendiri atau parti akan ambil tindakan untuk mengarahkannya.

“Banyak kes dulu Datuk Haron Idris akhirnya parti nasihatnya perlu berundur, Tan Sri Muhammad Mohd Taib juga diminta untuk melepaskan jawatan, Abdul Rahim Thamby Chik pun dulu pernah mengundurkan diri sementara tetapi pemangku pulangkan kembali (siapa yang dibuktikan mahkamah tidak bersalah).

“Untuk apa, untuk mereka selesaikan masalah. Jadi dalam kes Presiden yang mana Pemuda buat pendirian minta bercuti adalah merujuk kes-kes terdahulu. Kali ini dalam sejarah pemimpin UMNO kebetulan Presiden dituduh 45 pertuduhan.

“Saya berpendapat apa yang dikatakan Pemuda telah dbincang dengan terperinci dan mengambil kira pandangan ahli parti dan akar umbi dan orang biasa.

“Sebab saya nak sarankan kepada kepimpinan tertinggi parti mana-mana yang lain yang terlibat kes pendakwaan lebih baik bercuti atau undur diri daripada sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pemuda UMNO cadang Zahid bercuti 

Zahid tidak perlu direhatkan – Armand

Tambah Jais, UMNO perlu membuktikan kepada rakyat yang sedang menilai, bahawa parti itu berani bertindak bukan sekadar menyerang seterunya.

“Dulu kita tegur LGE (Lim Guan Eng) semasa pendakwaan kesnya di mahkamah, kita sokong parti buat teguran sebab amalan parti kita begitu, nak dilihat bersih siapa buat salah dia bertanggungjawab, jadi bila kena batang hidung kita kenapa kita tidak lakukan,” tambahnya.

Sehubungan itu semua pemimpin parti itu diseru agar berlapang dada dalam isu ini dan sentiasa bersikap terbuka seperti yang pernah dilakukan Datuk Seri Najib Razak ketika meletakkan jawatan tanpa diminta.

“Saya paling bimbang tindakan kita ini tidak mencerminkan kehendak rakyat. UMNO tidak boleh menang kalau sekadar mengharapkan solidiriti ahli sendiri. Rakyat melihat apa yang UMNO buat jadi kalau UMNO buat tidak seiring dengan keinginan rakyat macam mana nak bangkit kita ada peluang.

“Najib dia berjiwa besar, dia rasa dia bertanggungjawab apa yg berlaku dia lepaskan jawatan bukan tidak ada lain yg menyambung legasi parti,” tambahnya.

Untuk rekod, Tengku Razaleigh Hamzah juga pernah mencadangkan agar Ahli Majlis Tertinggi UMNO mempertimbangkan semua aspek yang berkemungkinan timbul selepas Presiden parti berhadapan dengan kes mahkamah. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan