Wabak beguk yang berlaku di dua sekolah di Selangor dalam keadaan terkawal dan langkah pencegahan diambil Kementerian Kesihatan.
Wabak beguk yang berlaku di dua sekolah di Selangor dalam keadaan terkawal dan langkah pencegahan diambil Kementerian Kesihatan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengambil langkah kawalan dan pencegahan ke atas dua sekolah yang ditutup pada 23 Oktober hingga 9 November ini berikutan jangkitan wabak beguk.

Kenyataan dari kementerian itu hari ini melaporkan, antara langkah diambil ialah mengasingkan pelajar dan memberi pendidikan kesihatan.

“Kementerian mengambil maklum mengenai laporan beberapa portal berita atas talian berkenaan penutupan dua sekolah di Kajang dan Gombak akibat wabak beguk dan kenyataan media oleh Kementerian Pendidikan semalam.

“Pihak kami ingin memaklumkan, kejadian wabak beguk di kalangan pelajar di sebuah sekolah di Kajang telah dilaporkan pada 14 Ogos lalu dan tindakan kawalan serta pencegahan telah dijalankan termasuk pengasingan pelajar dan pendidikan kesihatan sejak wabak ini dilaporkan.

“Namun, masih berlaku penularan jangkitan akibat pergaulan pelajar yang berterusan walaupun arahan pengasingan kes telah diberikan,” katanya dalam kenyataan balas kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan melaporkan dalam kenyataan, dua sekolah berasrama penuh (SBP) iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang dan SBP Integrasi Gombak di Selangor ditutup sementara berikutan wabak itu.

Penutupan dua sekolah berkenaan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kes yang direkodkan mulai awal Oktober lalu melibatkan 36 pelajar dari SMA Persekutuan Kajang dirujuk ke Klinik Kesihatan Sungai Chua dan berikutan itu notis penutupan bersyarat telah dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat pada 12 Oktober lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan, penutupan dua sekolah itu adalah sebagai langkah memutuskan rangkaian jangkitan beguk dalam kalangan pelajar dan sehingga kini pesakit berada dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan.

Kata kenyataan itu, penyakit beguk disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus, yang mana pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur).

“Jangkitan boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengannya dan biasanya pesakit akan sembuh sepenuhnya selepas dua hingga tiga minggu.

“Manakala komplikasi beguk seperti jangkitan testis, telinga, otak dan ovari sangat jarang berlaku,” kata kenyataan itu.

Sehingga 20 Oktober lalu, sebanyak 75 wabak beguk telah dilaporkan di seluruh negara berbanding 64 kes bagi tempoh sama pada 2017.

Ujarnya, dari jumlah 75 kes yang dilaporkan itu, 59 atau 78.7 peratus berlaku di sekolah.

“Oleh kerana tempoh kebolehjangkitan beguk yang panjang iaitu bermula sebelum sebarang tanda dan gejala timbul, ia menyebabkan sukar mengesan kes pada peringkat awal rebakan jangkitan.

“Pergaulan antara pelajar ketika di sekolah pula memudahkan jangkitan tersebar dan pemberian imunisasi ini akan memberi perlindungan terhadap jangkitan dan mengurangkan risiko dijangkiti penyakit ini atau bila dijangkiti gejala jangkitan adalah ringan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan