Tony Pua
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua bercakap sambil diperhatikan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (kanan) mengenai dalam agenda ekonomi pada Forum Ekonomi Belia 2018 anjuran Perdana Fellows Alumni Association (PFAA) di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Bajet 2019 akan memberi fokus kepada pengangkutan awam, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua.

Tanpa mengulas lanjut, Tony menafikan kerajaan hanya mementingkan projek kereta nasional ketiga dan mengabaikan aspek pengangkutan awam yang lebih maju.

“Saya tidak mahu terlepas cakap atau memberi butiran terperinci mengenai Bajet 2019 tetapi apa yang pasti ia memberi fokus kepada pengangkutan awam,” katanya ketika menjadi panelis sesi Agenda Bajet di Forum Ekonomi Remaja di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mengesahkan pelaksanaan cukai-cukai baharu bagi menampung semula kekurangan perolehan kerajaan yang hilang akibat penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Tony tidak menyatakan jenis-jenis cukai baharu tersebut bagaimanapun menyatakan pendapat peribadinya bahawa Cukai Keuntungan Modal sepatutnya dilaksanakan di Malaysia.

“Saya adalah seorang ahli perniagaan yang mendapat keuntungan daripada pelaburan.

“Secara peribadi saya terfikir kenapa keuntungan modal tidak pernah dikenakan cukai sedangkan pekerja-pekerja yang mendapat gaji RM4000 hingga RM5000 sebulan dikenakan cukai pendapatan bagi menambah perolehan negara.

“Saya rasa Malaysia perlu melaksanakannya, bila dan bagaimana, kita akan tentukan kemudian,” katanya.

Cukai Keuntungan Modal merupakan antara cukai yang dicadangkan oleh pakar-pakar ekonomi bagi menambah pendapatan kerajaan selain pengenalan Cukai Warisan Harta, Cukai Kekayaan dan Cukai Soda.

Ketika ditanya apakah Bajet 2019 adalah bajet “austerity”, Tony menjawab, ia lebih kepada bajet rasionalisasi yang mana terdapat peruntukan yang akan dikurangkan untuk memberi manfaat kepada sektor-sektor tertentu yang lebih memerlukan.

“Memang Perdana Menteri ada cakap mengenai bajet pengorbanan tetapi saya tidak melihat Bajet 2019 adalah bajet austerity kerana apabila kita mengambil langkah austerity, semua peruntukan akan dipotong tidak kiralah sama ada peruntukan untuk kesihatan atau pendidikan.

“Saya melihat Bajet 2019 adalah bajet rasionalisasi,” katanya lagi.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membentangkan bajet buat pertama kalinya pada Jumaat ini. -MalaysiaGazette