Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.
Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

KUALA LUMPUR – Kepakaran dalam bidang ekonomi yang dimiliki oleh Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika berada dalam Kabinet terdahulu boleh dimanfaatkan oleh kerajaan hari ini untuk menyelesaikan masalah hutang negara.

Malah, beliau juga mampu menarik saingan pelabur asing khususnya dalam bidang berteknologi tinggi, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

Menurutnya, Mustapa yang lebih mesra dengan panggilan ‘Tok Pa’ mempunyai ketokohan dan pengalaman yang mendalam kerana beliau pernah menerajui Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

“Di alam politik pula, beliau mampu memperkasakan pergerakan Bersatu di Kelantan, di mana beliau pernah hampir merampas negeri tersebut dari PAS sebagai mantan Ketua Perhubungan Negeri UMNO.

“Saya yakin kepimpinan parti akan mengenal-pasti tempat terbaik bagi Tok Pa dalam parti yang kini sedang melaksanakan rombakan di beberapa peringkat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Mustapa mengumumkan menyertai PPBM selepas menjadi Ahli Parlimen Bebas dan meneliti perkembangan politik semasa.

Beliau sebelum ini mengumumkan keluar UMNO dalam satu kenyataan bertarikh 18 September berkuatkuasa serta-merta selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu.

Mustapa turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Mustapa pernah berada dalam Kabinet Dr. Mahathir sebagai Menteri Pembangunan Usahawan serta menjadi Menteri Kewangan II pertama yang dilantik ketika Malaysia berdepan Krisis Kewangan Asia kira-kira 20 tahun lalu.

Penyertaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dilihat penting bagi Bersatu yang dilihat ketandusan barisan kepimpinan yang berpengalaman.

Tindakan Mustapa akan membolehkan Bersatu memiliki 14 ahli Parlimen berbanding 13 orang sebelum ini. – MalaysiaGazette