Ketua Masyarakat Orang Asli (Tok Batin) Kampung Deraman, Rosman A/L Sulong ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Deraman, Rompin Pahang. foto IQBAL BASRI, 18 OKTOBER 2018
Ketua Masyarakat Orang Asli (Tok Batin) Kampung Deraman, Rosman A/L Sulong ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Deraman, Rompin Pahang. foto IQBAL BASRI, 18 OKTOBER 2018
ROMPIN – Ketua Masyarakat Orang Asli (Tok Batin), Kampung Deraman di sini, Rosman A/L Sulong mendakwa, beberapa peruntukan untuk pembangunan yang telah diluluskan sebelum peralihan kuasa kerajaan negeri telah disekat hingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk di kampungnya.
Sebagai contoh kata beliau, rancangan untuk membina dewan orang ramai yang telah mendapat kelulusan dengan peruntukan sebanyak RM500,000 tidak dapat dilaksanakan kerana bajet tersebut difahamkan sudah terbatal.
“Kami memerlukan dewan orang ramai sebagai menggantikan dewan adat yang ada di kampung kami ini.
“Dewan tersebut boleh digunakan sebagai upacara keramaian kerana dewan adat yang ada ini kami mahu jadikannya sebagai mini muzium sebagai tarikan kepada pengunjung.
“Lagipun dewan adat ini sempit dan tidak mampu menampung upacara keramaian seperti kenduri kawin dan pelbagai lagi aktiviti sosial,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sii.
Menurut Rosman, meskipun difahamkan projek itu tidak dapat dilaksanakan namun, beliau tetap berusaha memperjuangkan hak masyarakat Orang Asli di kampungnya kerana bajet pelaksanaan itu telah ada.
Katanya, permohonan mendesak agar projek itu diteruskan dibuat menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang merupakan wakil rakyat Barisan Nasional yang sememangnya mengetahui mengenai perkara itu.
Dalam perkembangan lain, Rosman berkata, beliau menggesa supaya kerajaan negeri memberi kelulusan memiliki geran tanah untuk masyarakat Orang Asli yang telah dipohon sejak sekian lama.
Katanya, meskipun ada pihak menyatakan keistimewaan kaum tersebut yang tidak perlu mendapatkan geran untuk kelulusan memiliki tanah namun, ia bukanlah satu jaminan yang pasti.
“Ada dalam kalangan kami yang dah didenda oleh pihak berwajib kerana menjalankan aktiviti pertanian di tanah yang bukan milik mereka.
“Mereka itu pula hanya bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak tetap.
“Macam mana mereka hendak bayar denda dan dimanakah hak kami. Siapa pula yang akan membela nasib kami ini,” soal beliau.
Justeru katanya, sebagai mewakili penduduk masyarakat Orang Asli terutamanya di kawasan Kuala Rompin, beliau mengharapkan agar kerajaan negeri mengambil berat kebajikan mereka dengan tidak meminggirkan perkara-perkara melibatkan pembangunan demi kelestarian hidup.
Tambah beliau, masyarakat Orang Asli juga merupakan penyumbang kepada ekomomi dan hasil negeri kerana mereka sangat rapat dengan kehidupan alam semula jadi.
“Masyarakat Orang Asli ini mereka rapat dengan alam semula jadi. Mereka pandai mencari hasil bumi untuk menjana ekonomi.
“Sebagai contoh, Rompin ni terkena dengan udang galah. Jadi, mereka ini tahu cara bagaimana untuk mendapatkannya.
“Ini semua dapat menarik minat orang luar untuk datang ke Rompin seterusnya menjadikan kawasan tersebut sebagai satu destinasi pelancongan untuk negeri Pahang,” ujarnya. – MalaysiaGazette