A400
Pesawat A400 milik Tentera Udara DiRaja Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2017.

KUCHING – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai perancangan pembangunan masa depan tetapi kekurangan peruntukan menjadi penyebab utama ia belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, kata Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang.

“Kami berharap dengan peruntukan yang lebih banyak kami bokeh meningkatkan pembangunan aset kami.

“Buat masa ini kami mengoptimumkan operasi aset-aset kami yang sedia ada,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan pertunjukan udara oleh pesawat TUDM sempena pameran TUDM di Pangkalan Udara Kuching di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, TUDM tidak menghadapi masalah kekurangan anggota kerana ramai yang berminat dan memohon untuk menyertai TUDM.

Katanya, pengambilan anggota TUDM dibuat berdasarkan kelayakan pemohon dan tidak berasaskan kaum dan negeri.

Mengenai pameran dan pertunjukan udara sempena sambutan ulang tahun ke-69 TUDM, beliau berkata mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai.

Affendi berkata, pertunjukan udara adalah yang pertama kali pernah dilangsung di sini, dan menambah bahawa ia bukan mudah diadakan memandangkan kesibukan trafik udara.

Sebelum ini ia diadakan di Pangkalan Udara Butterworth.

Lebih 10,000 orang hadir untuk menyaksikan pertunjukan udara dan pameran tersebut termasuk Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sempena pameran sehari itu, termasuk pameran statik pesawat TUDM di kawasan dispersal. – Bernama

Tinggalkan Jawapan