Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu mengambil tindakan disiplin terhadap Datuk Lokman Noor Adam berhubung tindakannya mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Ketua Pemuda parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

EXCO Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, tindakan Lokman yang juga ahli MKT itu menunjukkan beliau sebagai liabiliti sebenar dalam parti.

“Cara gerak kerja yang beliau laksanakan sebagai ahli MKT, menyampaikan kata-kata kesat secara langsung dalam laman sosial, bukan memberi impak positif untuk ahli, sebaliknya membuat rakyat menjauh untuk kembali menyokong UMNO.

“Kami selaku Pemuda begitu menghormati institusi Presiden dan apa yang Ketua Pemuda UMNO sampaikan, adalah begitu berhemah dan hanya memberi nasihat serta pandangan kepada Presiden parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi sebelum ini dilaporkan menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya bercuti kerana berdepan 45 pertuduhan di mahkamah membabitkan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan.

Susulan itu, Lokman memuat naik video berdurasi 10 minit dalam nada serius menuntut Asyraf Wajdi meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda supaya beliau boleh mencabarnya dalam pemilihan semula selain menyifatkannya sebagai Ketua Pemuda yang gagal.

Mengulas lanjut, Muhamad Muqharabbin berkata, pergerakan itu prihatin dengan tuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid dan sebab itu mencadangkan supaya beliau bercuti untuk menyelesaikan kesnya.

“Adalah tidak logik, undang-undang untuk pemimpin berehat hanya terpakai ketika BN menjadi kerajaan sekiranya didakwa dan dituduh, sebaliknya ia lebih sesuai dipakai setiap masa.

“Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya Lokman diambil tindakan tata tertib kerana keceluparan beliau,” katanya.

Tinggalkan Jawapan