Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar selepas memberi keterangan mengenai siasatan berhubung urusan 1MDB dan Firma Pelaburan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kesal dengan wartawan Al-Jazeera yang menemubualnya secara eksklusif semalam tidak menumpukan topik asal berkenaan legasi dan ekonomi negara.

Menerusi Facebooknya beliau berkata, wartawan Mary Ann Jolley sebaliknya tetap dengan soalannya yang berkisar tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu Altantuya walaupun telah banyak kali dijawab oleh Najib.

Malah wartawan itu, kata Najib, mengajukan soalan yang cuba mengaitkannya dengan ahli perniagaan Jho Low.

“Walaupun saya sudah menjawab banyak soalan mengenai Altantuya dan 1MDB yang bukan pun di dalam skop yang dipersetujui, wartawan yang bernama Mary Ann ini tetap tidak mahu kembali kepada topik asal iaitu legasi saya dan ekonomi negara.

“Malahan, dia terus menekan tentang isu Altantuya dan 1MDB yang sedang di dalam proses pengadilan di mahkamah dan mencelah semasa saya sedang menjawab serta berulang-kali untuk mengaitkan nama Jho Low kepada saya walaupun saya sudah jawab peranan Jho Low kepada dia pada permulaan wawancara ini,” katanya.

Oleh kerana tindakan wartawan itu maka Najib membuat keputusan untuk menghentikan wawancara yang berlangsung pada Jumaat.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menghentikan temubual ini kerana tidak mengikuti apa yang telah dipersetujui dan ianya tidak adil kepada saya. Saya berpendirian tidak mahu mereka melanjutkan fitnah mengenai dua-dua isu itu terhadap saya, yang sudah berkali-kali dijawab dan terlalu banyak kali diberi penjelasan,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Najib menerusi video wawancara yang dimuatnaik di portal Al Jazeera meninggalkan wawancara stesen televisyen antarabangsa tersebut kerana pengacara program 101 East, Mary Ann tidak mengikuti topik asal.

Najib bertindak demikian selepas kali kedua meminta agar wartawan itu fokus kepada isu legasinya dan ekonomi negara.

Walaubagaimanapun Najib sedia untuk diwawancara sekali lagi oleh stesen televisyen itu bagi mengkhususkan topik asal.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan