transaksi
Antara dokumen transaksi wang derma yang disalurkan kepada Datuk Seri Najib Razak yang disiarkan pada laman Facebook bekas Perdana Menteri itu,

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kebanyakan dana-dana yang disalurkan ke dalam akaun beliau adalah daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan putera-putera negara itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau telah memberi bukti bahawa semua surat-surat penderma ialah daripada orang yang sama menerusi Facebook pada bulan lalu.

“Walaupun sebelum ini Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir pernah dua kali dengan mulut sendiri mengesahkan bahawa negara Arab Saudi yang menderma wang kepada saya, Menteri Luar Malaysia (Datuk) Saifuddin Abdullah mendakwa bahawa hari ini Adel memberitahu dia wang yang disebut RM2.6 bilion tidak ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi,” katanya menerusi laman Facebook.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Saifuddin selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra semalam bahawa derma RM2.6 bilion yang diterima Najib tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

Menurut Najib, hampir semua dana RM2.6 bilion sudah dikembalikan kepada sumber yang menyalurkannya empat bulan selepas diterimanya.

“Saya pun telah didakwa kerana menerima dana ini dan juga didakwa kerana mengembalikannya,” jelasnya.

Bagi membuktikan wang tersebut datang dari Arab Saudi, Najib turut menyiarkan beberapa dokumen transaksi pada laman Fecebook, seperti yang disiarkan beliau seebelum ini.

“Cuba semak dokumen-dokumen bank yang pernah saya dedahkan sebelum ini mengenai dana derma yang disalur kepada akaun saya.

“Adakah ianya ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi ataupun dengan kerabat diraja mereka?,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan