Sulawesi
Keadaan di Palu, Sulawesi akibat gempa bumi yang melanda, bulan lalu.

JAKARTA – Kedatangan musim tengkujuh ketika ini menambah lagi krisis di bandar Palu apabila dikhuatiri timbul ancaman wabak malaria dan demam denggi selepas sebulan wilayah itu dilanda gempa bumi dan tsunami.

Pada 28 September lalu, gegaran sekuat 7.5 magnitud disusuli gelombang tsunami membadai wilayah di pulau Sulawesi itu hingga mengorbankan 2,200 nyawa dan lebih 220,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Sehingga kini beribu-ribu nyawa lagi masih belum ditemui hilang dan dipercayai terkorban selepas sebahagian kawasan di pedalaman Sulawesi itu ditenggelami akibat fenomena pencairan tanah.

Pada minggu lalu, pihak berkuasa menggugurkan bahan menyahjangkit dari helikopter di kawasan paling teruk terjejas di Palu sebagai langkah terdesak untuk membendung penularan wabak penyakit.

Pihak berkuasa percaya kira-kira 5,000 mayat dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan.

Sementara itu, agensi Mitigasi Bencana Indonesia berkata, langkah tersebut penting untuk mencegah pembiakan lalat, lipas dan juga tikus yang berpotensi membawa penyakit.

Kumpulan bantuan bagaimanapun bimbang dengan peningkatan kes cirit-birit dan jangkitan pernafasan, selain kes disyaki bawaan nyamuk, termasuk malaria dan demam denggi.

Ramalan hujan monsun dalam beberapa bulan mendatang ini dikhuatiri memburukkan lagi keadaan.

Indonesia sebelum ini menjelaskan, kemusnahan di kawasan paling teruk terjejas mencecah AS$900 juta (RM3.7 bilion) sementara Bank Dunia menawarkan pinjaman sehingga AS$1 bilion (RM4.1 bilion) untuk membangunkan Palu.

Tujuh puluh peratus Palu sudah dibersihkan dan bekalan air akan kembali normal sepenuhnya menjelang Disember ini, kata Gabenor Sulawesi Tengah, Longki Djanggola.

Lebih daripada 1,400 khemah didirikan untuk kelas-kelas dan 1,200 tempat tinggal separuh kekal, setiap satu mempunyai 6 bilik dijangka siap dalam masa dua bulan lagi. – MalaysiaGazette