Datuk Seri Mustafar Ali
Datuk Seri Mustafar Ali

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Imigresen nyaris dirempuh dua kenderaan dipercayai tonto yang menjadi dalang pengoperasian sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Cheras.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kejadian tersebut berlaku di hadapan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas operasi (Ops Gegar) yang dilakukan pasukan itu malam tadi.

Menurutnya, insiden yang hampir meragut nyawa pegawai berkenaan itu berlaku selepas sepasukan penguatkuasa jabatan itu pulang daripada operasi berkenaan sebelum diekori oleh tonto-tonto terbabit.

“Dua buah kenderaan berjaya ditahan setibanya di ibu pejabat, sementara dua buah kenderaan lagi telah dipandu secara melulu dan cuba merempuh pegawai imigresen.

“Kejadian ini telah dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mustafar berkata, dalam operasi itu, seramai 110 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu 73 wanita dan 16 lelaki warganegara asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tambah beliau, empat warganegara Malaysia yang disyaki bekerja sebagai pengurus premis dan juruwang juga ditahan bagi membantu siasatan.

Ujarnya, sebanyak lapan Borang 29 (Saman Saksi) turut dikeluarkan ke atas pelanggan dan kesemua tahanan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen, Bukit Jalil.

Menceritakan mengenai operasi tersebut Mustafar berkata, semasa serbuan kesemua warga asing terbabit cuba melarikan diri ke arah pintu belakang premis tetapi keseluruhan kawasan premis telah berjaya dikepung lebih awal dan dapat menggagalkan cubaan mereka.

“Walaupun amaran demi amaran diberikan, tindakan tegas dilakukan, namun dalang dan sindiket dalam dan luar negara terus menjadikan warga asing tanpa izin sebagai pemuas nafsu pelanggan dan mengaburi mata pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasa yang lain di mana premis pusat hiburan keluarga bertukar menjadi pusat maksiat.

“Ketegasan Imigresen dalam menguatkuasakan undang-undang adalah sebagai pemegang amanah dan memelihara kedaulatan dan keselamatan rakyat dan negara tanpa kompromi,” tegas beliau. – MalaysiaGazette