Ibrahim Ali
Presiden Jawatankuasa Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap pada sidang media khas di Ibupejabat Perkasa, Wisma KGMB, Kuala Lumpur .foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Perniagaan tidak halal diakui boleh mencecah jualan sehingga bilion atau trilion ringgit, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali.

Bagaimanapun, katanya, perniagaan itu tidak boleh disertai oleh orang Melayu beragama Islam kerana selain tidak dibenarkan, ia juga menyalahi hukum hakam agama.

Kata beliau, orang bukan Islam dilihat berjaya kerana mereka terlibat dalam perniagaan tidak halal seperti kasino, judi toto, magnum, menjadi agen minuman keras dan pusat hiburan seperti spa.

“Saya terpanggil menyatakan ini untuk menjawab kenyataan seorang individu baru-baru ini mencadangkan kononnya untuk mengangkat kedudukan ekonomi orang Melayu beragama Islam agar menyertai perniagaan tidak halal, dengan alasan perniagaan itu boleh memberi keuntungan yang besar.

“Tidak dinafikan, saya sendiri pun jangka perniagaan tidak halal ini boleh dapat bilion atau trilion ringgit. Contohnya, kasino, magnum, kemudian menjadi agen minuman keras dan pusat hiburan.

“(Tapi) semua ini orang Melayu Islam tidak dibenarkan berniaga, permit hanya dikeluarkan kepada orang bukan Islam,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Dr Ibrahim berkata, beliau pernah ungkit perkara itu dahulu dan tidak mungkin boleh bersaing dengan orang bukan Melayu.

“Kita orang Islam ada peraturan dan kena patuh agama, sedangkan bukan Islam tak ada halangan.

“Bagi saya, orang yang mencadangkan ini agak nakal atau mungkin dia yang nak lesen ini,” katanya.

Menurutnya, ada cara dan kaedahnya untuk mengangkat ekonomi orang Melayu tanpa terlibat dalam perniagaan tidak halal.

Tetapi, katanya, ia mestilah mendapat kerjasama orang Melayu itu sendiri dengan tekad yang jitu dan kekuatan politik.

“Oleh kerana negara kita Islam adalah agama Persekutuan dan orang Islam tidak boleh berniaga dalam bidang tidak halal, tapi kerajaan terdahulu telah mewujudkan kek ekonomi sekitar 30 peratus.

“Kita sepatutnya tentang, bantah kasino dan desak kerajaan supaya tarik lesen atau jangan keluarkan lesen pusat hiburan dan arak dan sebagainya. Tapi kita orang Islam menghormati hak kebebasan bukan Islam.

“Apa yang kita boleh buat ialah menggunakan hak kita dalam fasal 153 Hak Istimewa Orang Melayu, tetapi kita tidak guna hak ini sepenuhnya untuk bantu ekonomi Bumiputera,” katanya.

Katanya, sekarang ini sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, ia memperkenalkan dasar tanpa mengira kaum.

Menurut beliau, Perkasa setuju, tetapi bagaimana perbezaan penguasaan ekonomi antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera yang boleh membantu penyusunan semua ekonomi negara.

Contohnya, kata Dr Ibrahim, harga rumah kedai di bandar naik begitu tinggi sehingga Bumiputera tidak mampu memiliki atau menyewanya.

“Tapi di mana kerajaan, apa yang kerajaan lakukan untuk membantu Bumiputera ini? Tidak ada,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada orang Melayu agar jangan besar kepala hendak membolot hak sesama bangsa, sebaliknya sedar dan insaf sebelum terlambat.

Beliau memberi contoh, sudah lama kedengaran mereka hendak menghapuskan Bumiputera dengan bukan Bumiputera, sebab itu mereka rancak menyokong hapuskan Akta Hasutan.

“Mereka hendak apa saja dasar adalah sama. Saya nak tanya, kalau tak ada ketuanan bangsa, kita ada apa?” soal beliau. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan