Trofi Piala Malaysia menjadi rebutan antara Terengganu dan Perak malam ini.

KUALA LUMPUR – Sama ada menjulang Piala Malaysia atau tidak malam ini, rakyat Terengganu tidak perlu lagi pening kepala terutama penyokong setia yang hadir menonton perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Selangor.

Namun gelaran juara lebih bermakna buat skuad Penyu itu kerana kali terakhir Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001 selepas menewaskan pasukan Perak 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, Kerajaan Terengganu telah mengumumkan esok sebagai cuti peristiwa bersempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan membenarkan cuti peristiwa pada 28 Oktober itu dibuat setelah mengambil kira semua faktor terutama keselamatan penyokong dan motivasi rakyat negeri Terengganu.

Beliau berkata, pengumuman awal itu juga bagi memudahkan semua pihak termasuk sekolah, agensi kerajaan dan pihak lain membuat perancangan atau perubahan tanpa mengganggu jadual mereka.

Ketika ditanya berhubung ganjaran atau insentif yang bakal diberikan kepada pasukan TFC I sekiranya berjaya membawa pulang Piala Malaysia kali ini, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan perkara itu selepas perlawanan tersebut. – MalaysiaGazette