Khazanah Nasional
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR- “Jika syarikat tersebut guna duit sendiri, tidak perlukan subsidi kerajaan dan cadangan tersebut dipacu sepenuhnya oleh keputusan komersial, teruskanlah.

“Jangan pula, esok-esok mereka datang semula kepada kerajaan minta untuk diselamatkan,” ringkas komen yang diberikan oleh Pengarah Khazanah Nasional Bhd., Dr Sukhdev Singh mengenai projek kereta nasional ketiga.

Bercakap semasa menjadi panel sesi Agenda Ekonomi: Mahathir-nomics dan Mengimbas kembali Wawasan 2020 sempena Forum Ekonomi Muda di sini hari ini, Sukhdev berkata, beliau lebih selesa menggunakan kemudahan awam selama ini kerana lebih mudah dan menjimatkan.

Dalam pada itu, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd., Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika mengulas topik yang sama berkata, ketika Korea Selatan mengenal pasti halatuju strategik dalam industri automotif, negara tersebut melakukan pendekatan bersepadu dari peringkat sekolah sehingga ke peringkat industri.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku di negara ini.

“Korea mengambil kira semua aspek termasuklah lokasi berpusat, jarak dengan pelabuhan dan sistem pendidikan (berkaitan industri automotif) yang bermula dari peringkat sekolah lagi sebelum mereka memasuki institusi teknikal.

“Kita tidak mempunyai langkah bersepadu tersebut.

“Sebagai ahli ekonomi, saya merasakan kita perlukan perkara ini tambahan pula ketika ini, Malaysia mempunyai sumber yang terhad.

“Kita juga perlu melihat kepada aspek risiko. Kita tidak mahu menggunakan sumber tersebut untuk sesuatu yang tidak berguna dan selepas itu, kerajaan kena bantu. Lebih baik sumber tersebut disalurkan kepada perkara yang lebih penting,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memberi cadangan untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga.

Projek tersebut, katanya, akan dijalankan oleh pihak swasta. -MalaysiaGazette