Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima borang keahlian bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) sambil diiringi Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) pada sidang media khas PPBM di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 OKTOBER 2018

PETALING JAYA – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selepas menjadi wakil rakyat bebas selama beberapa minggu dan meneliti perkembangan politik semasa, beliau akhirnya memutuskan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Berucap selepas menyerahkan borang keahlian PPBM kepada Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, ahli Parlimen Jeli itu turut berterima kasih kepada Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden serta saf kepimpinan kerana menerima kemasukan beliau.

“Keputusan untuk memilih wadah perjuangan politik yang baharu ini diambil kerana saya percaya ia akan memberi peluang untuk saya memainkan peranan yang lebih berkesan bagi membela kepentingan pengundi saya di Jeli dan rakyat Kelantan secara keseluruhannya di dalam dan luar Dewan Rakyat,” katanya.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi itu meninggalkan UMNO pada 18 September lalu iaitu selepas empat bulan Barisan Nasional mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Mustapa yang lebih mesra dengan panggilan Tok Pa juga menyatakan sokongan terhadap usaha Dr Mahathir untuk memberi penekanan terhadap integriti dan ketelusan ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik dalam kerajaan dan parti parti politik.

“Saya juga sokong langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

“Usaha-usaha ini amat penting bagi meletakkan asas kukuh dalam memastikan ekonomi negara dibangunkan secara lestari.

“Insya Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha PPBM selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan Bumiputera di samping menjayakan pelan pembangunan ekonomi yang lebih kondusif untuk manfaat segenap rakyat dan reformasi institusi untuk mewujudkan masa depan yang lebih cerah bagi negara kita,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette